Harga minyak melonjak, konflik AS-Iran memuncak

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 20 April – Harga minyak dunia kembali melonjak lebih enam peratus pada Isnin selepas kejatuhan mendadak minggu lalu, susulan penutupan semula laluan strategik Selat Hormuz akibat pelanggaran gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian selepas serangan terhadap kapal dagang hujung minggu, mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.
  • Niaga hadapan Brent naik AS$6.11 kepada AS$96.49 setong; WTI naik AS$6.53 kepada AS$90.38 setong.
  • Presiden Donald Trump mendakwa tentera AS merampas sebuah kapal kargo Iran yang cuba melepasi sekatan Washington.
  • AS mengekalkan sekatan pelabuhan Iran; Tehran dilaporkan menarik balik dan melaksanakan semula sekatan di laluan maritim strategik.

Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut dengan menyerang kapal dagang sepanjang hujung minggu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$6.11 atau 6.76 peratus kepada AS$96.49 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate naik AS$6.53 atau 7.79 peratus kepada AS$90.38 setong.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Donald Trump pada Ahad mendakwa tentera Amerika Syarikat telah merampas sebuah kapal kargo Iran yang cuba melepasi sekatan dikenakan Washington.

Animasi pengesanan oleh MarineTraffic menunjukkan kapal berbendera Iran, Touska, bergerak dari Pelabuhan Klang, Malaysia menuju ke Selat Hormuz antara 13 hingga 19 April lalu.

Namun, Iran menegaskan tidak akan menyertai pusingan kedua rundingan damai susulan ancaman Amerika Syarikat untuk melancarkan semula serangan udara.

Amerika Syarikat terus mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran, manakala Tehran pula dilaporkan menarik balik dan kemudian melaksanakan semula sekatan di Selat Hormuz, yang sebelum konflik hampir dua bulan lalu mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.-REUTERS