
TEHRAN, 20 April – Iran tidak merancang untuk mengambil bahagian dalam rundingan pusingan baharu dengan Amerika Syarikat di Pakistan.
- Tehran berikrar membalas segera terhadap tindakan kapal pemusnah Amerika yang menembak kapal kargo berkibarkan bendera Iran di Teluk Oman.
- Iran mendakwa Washington melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 8 April.
- Trump memaklumkan di Truth Social USS Spruance menembak TOUSKA kerana cuba mengelak sekatan maritim dan mengabaikan amaran.
Perkara itu dilaporkan stesen penyiar dan agensi berita utama Iran, IRIB beberapa jam selepas Presiden Donald Trump menyatakan bahawa beliau menghantar perunding ke Islamabad.
“Pada masa ini, tiada rancangan untuk menyertai rundingan Iran-Amerika yang seterusnya,” lapor IRIB memetik sumber Iran.
Dalam pada itu, Tehran berikrar untuk bertindak balas, susulan tindakan kapal pemusnah Amerika melepaskan tembakan ke arah kapal kargo yang mengibarkan bendera Iran di Teluk Oman.
“Kami memberi amaran bahawa angkatan bersenjata Republik Islam Iran akan segera bertindak balas dan membalas tindakan lanun bersenjata ini serta pihak tentera Amerika,” kata jurucakap pusat komando tentera, Khatam Al-Anbiya yang dipetik agensi berita ISNA.
Beliau mendakwa Washington telah melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 8 April.
Menerusi catatan di platform Truth Social, Trump memaklumkan kapal pemusnah peluru berpandu USS Spruance telah menembak kapal Iran, TOUSKA yang cuba mengelak sekatan maritim dan mengabaikan amaran untuk berhenti. -AFP