AS tembak kapal kargo Iran cuba elak sekatan

Trump mendakwa kapal Touska berada bawah sekatan Jabatan Perbendaharaan AS

WASHINGTON, 20 April – Kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat melepaskan tembakan, sebelum merampas sebuah kapal kargo yang mengibarkan bendera Iran di Teluk Oman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump kata tindakan diambil selepas kapal cuba mengelak sekatan maritim Amerika Syarikat.
  • Tentera marin Amerika menahan kapal itu dan sedang melakukan pemeriksaan di atas kapal.
  • Jabatan Perbendaharaan AS kenakan sekatan ke atas TOUSKA kerana sejarah kegiatan haram; penjejakan tunjuk lokasi dan pelayaran dari Malaysia.

Menurut Presiden Donald Trump, tindakan diambil selepas kapal tersebut cuba mengelak sekatan maritim Amerika.

Beliau mendakwa, kapal TOUSKA itu mengabaikan arahan untuk berhenti, menyebabkan kapal pemusnah peluru berpandu Amerika USS Spruance bertindak menyekat kapal berkenaan dengan melancarkan tembakan yang menembusi bilik enjin.

“Ketika ini, tentera marin Amerika menahan kapal tersebut dan sedang melakukan pemeriksaan di atas kapal.

“Kapal Touska berada bawah sekatan Jabatan Perbendaharaan AS kerana mempunyai sejarah menjalankan kegiatan haram sebelum ini,” tambah Trump menerusi catatan di platform Truth Social.

Data daripada laman web Marine Traffic menunjukkan kapal itu berada kira-kira 45 kilometer dari pantai selatan Iran berhampiran bandar Chabahar sebelum pengumuman Trump.

Sebuah lagi laman penjejakan kapal, Tanker Tracker pula menyatakan TOUSKA berlepas dari Malaysia. -AFP