TNB MHL: THT belasah ATM 7-1

Foto FB Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 20 April – Terengganu Hockey Team (THT) membelasah Armed Forces HT (ATM), 7-1 dalam aksi ketiga saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Faizal Saari meledak empat gol termasuk dua daripada pukulan penalti, menunjukkan ketajaman jentera serangan THT.
  • THT kini mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan; pasukan mula menemui rentak dan lebih serasi.
  • Maybank kekal di puncak liga selepas kemenangan besar; Shahril hatrik dan Najmi sumbang dua gol pukulan sudut penalti.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, penyerang sensasi negara, Faizal Saari mencuri tumpuan apabila meledak empat gol untuk membantu THT meraih tiga mata pertama musim ini.

THT membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi Muhammad Abid Suffian Mat Ruslee, sebelum Muhammad Arif Syafie Ishak menambah gol kedua beberapa saat sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Faizal mula mempamerkan ketajamannya apabila menjaringkan gol ketiga pasukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33, sebelum ATM meraih gol sagu hati menerusi Muhammad Hilmi Midi pada minit ke-43.

Namun, THT terus menguasai permainan dengan Faizal melengkapkan hatrik dalam tempoh singkat, termasuk dua gol hasil pukulan penalti pada minit ke-51 dan selang seminit kemudian.

Dominasi THT diteruskan apabila Mohammad Harris Iskandar Osman menutup pesta jaringan dengan menjaringkan gol ketujuh pada minit ke-56.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom kini mengumpul empat mata keseluruhan selepas tiga perlawanan, hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Menurut Harfizi, kejayaan tersebut membuktikan pasukannya kembali berada di landasan tepat dalam mencabar saingan liga, selain semakin serasi dalam mencipta peluang jaringan, khususnya menerusi pukulan sudut penalti.

“Pasukan sudah mula menemui rentak dan pemain menunjukkan keserasian yang semakin baik, terutama dalam aspek serangan,” katanya.

THT dijadual meneruskan aksi keempat menentang TNB Thunderbolts pada 26 April ini di Batu Buruk, Terengganu.

Sementara itu, Maybank mengekalkan kedudukan teratas liga selepas mencatat kemenangan bergaya 7-0 ke atas TNB Thunderbolts.

Muhammad Shahril Saabah muncul wira apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-11, 25 dan 55, manakala Muhammad Najmi Farizal Jazlan menambah dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-57 dan 58.

Dua lagi jaringan Maybank disumbangkan oleh Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.

Kemenangan itu membolehkan Maybank mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.

Maybank dijadual berdepan UITM HA-KPT dalam aksi keempat, 26 April ini.