
BUENOS AIRES, 20 April– Leandro Paredes menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama untuk memberikan kemenangan tipis 1-0 buat Boca Juniors ke atas musuh tradisi, River Plate, dalam aksi Superclasico pada Ahad (19 April).
- Kemenangan itu meleburkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah River Plate dalam semua pertandingan.
- Itu kekalahan pertama River di bawah Eduardo Coudet; mereka kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan 26 mata.
- Boca melonjak ke tangga ketiga Kumpulan A dengan 24 mata; rayuan penalti masa kecederaan River ditolak tanpa campur tangan VAR.
Kemenangan itu sekali gus meleburkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah pihak lawan dalam semua pertandingan.
Keputusan itu juga menandakan kekalahan pertama River di bawah kendalian jurulatih Eduardo Coudet, yang menyaksikan mereka kekal di tangga kedua Kumpulan B dalam carta Apertura dengan 26 mata.
Boca Juniors pula melonjak ke tangga ketiga Kumpulan A dengan kutipan 24 mata.
Dalam aksi babak pertama yang sengit, kapten pasukan, Paredes, tenang menyempurnakann sepakan penalti sebelum waktu rehat sekali gus mendiamkan gema sorakan lawan di Estadio Monumental.
Penalti tersebut diberikan selepas pemeriksaan VAR mendapati Lautaro Rivero menyentuh bola dengan tangan di dalam kawasan kotak penalti.
Tuan rumah pada awalnya kelihatan lebih dominan namun impian mereka terjejas awal apabila penyerang berbisa, Sebastian Driussi, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Boca hampir menggandakan kelebihan mereka selepas perlawanan disambung semula apabila Santiago Ascacibar melepaskan rembatan kencang, namun berjaya diselamatkan dengan tangkas oleh penjaga gol, Santiago Beltran.
Usaha terakhir River untuk menyamakan kedudukan berakhir dengan kekecewaan apabila rayuan penalti mereka pada masa kecederaan tidak diendahkan oleh pengadil, tanpa sebarang campur tangan daripada VAR sehingga wisel penamat ditiupkan. -REUTERS