
KANGAR, 20 April – Seramai 24 pelajar baharu dalam kalangan asnaf terpilih menerima tajaan sebanyak RM29,500 seorang bagi menyertai Program ‘Zero to Hero’.
- MAIPs melalui ATAM menaja penuh pelajar asnaf untuk mengikuti program latihan teknikal di TWI Shah Alam selama empat bulan.
- Program bertujuan memperkasa ekonomi asnaf melalui pendekatan preventif, latihan kemahiran dan penempatan kerja dalam sektor kemahiran tinggi.
- Pelaburan dalam pembangunan insan melalui latihan dan pekerjaan menghasilkan asnaf berkemahiran, berdikari dan sumbang semula kepada masyarakat.
- TWI antara lebih 20 syarikat rakan kerjasama MAIPs dan ATAM, hampir 3,000 pelajar asnaf Perlis telah mengikuti program TVET.
Setiap pelajar menerima tajaan penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM) untuk menyertai program kendalian The Welding Institute (TWI) di Shah Alam, Selangor selama empat bulan.
Menurut Pengurus Besar Akademi Transformasi Asnaf MAIPs, Muhamad Farid Abdul Rahim, program berkenaan dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi golongan asnaf menerusi pendekatan preventif untuk mengelakkan kemiskinan melalui latihan kemahiran serta penempatan kerja dalam pelbagai sektor kemahiran tinggi.
“Pelaburan terhadap pembangunan insan melalui model latihan dan pekerjaan berkenaan dilihat lebih efektif selain mampu melahirkan generasi asnaf yang berkemahiran, berdikari dan berupaya menyumbang semula kepada masyarakat menerusi kemahiran dimiliki.
“Pendekatan itu menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebagai laluan keluar daripada kemiskinan untuk jangka panjang, sekali gus memperkasa golongan asnaf daripada penerima zakat MAIPs kepada pemberi zakat kepada golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penghantaran 24 pelajar baharu asnaf mengikuti Program ‘Zero to Hero’ ke The Welding Institute (TWI), Shah Alam yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini.
The Welding Institute (TWI) merupakan antara lebih 20 syarikat yang bekerjasama erat dengan MAIPs dan ATAM dalam menyediakan latihan kepada golongan asnaf.
Sehingga kini hampir 3,000 pelajar asnaf di Perlis telah mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).