
JERLUN, 20 April – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun merupakan sebuah lagi sekolah di Kedah yang mewujudkan prasekolah di peringkat sekolah menengah sebagai usaha membolehkan kanak-kanak seawal usia lima tahun mendapat akses pendidikan awal berkualiti.
- Inisiatif proaktif KPM melalui Program Perluasan Prasekolah, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
- Program akan diperluas secara berperingkat melibatkan sekolah rendah dan menengah serta penambahan bilangan kelas.
- Prasekolah diharap menjadi wadah kecemerlangan serta membentuk sahsiah dan jati diri kanak-kanak.
- Setakat ini 14,312 murid mengikuti prasekolah di 452 institusi pendidikan di Kedah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, ia merupakan salah satu inisiatif proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bawah Program Perluasan Prasekolah selain memastikan kesediaan murid sebelum melangkah ke alam persekolahan formal yang lebih tinggi.
“Program prasekolah akan ditambah dari semasa ke semasa melibatkan sekolah rendah dan menengah selain menambah bilangan kelas di sekolah-sekolah sedia ada.
“Prasekolah diharap menjadi wadah kecemerlangan dan membentuk sahsiah dan jati diri awal bagi kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Prasekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Azhari Abdul Rashid; dan Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Ishak Zulkifli.
Selain SMK Jerlun, dua sekolah yang sebelum ini telah mewujudkan prasekolah di sekolah masing-masing ialah SMK Mahsuri di Langkawi dan SMK Syed Mohamed Al Bukhary di Alor Setar.
Sebelum ini, prasekolah hanya diwujudkan di peringkat sekolah rendah bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan awal sebelum memasuki sekolah rendah.
Setakat ini, secara keseluruhan, seramai 14,312 murid sedang mengikuti prasekolah di 452 institusi pendidikan di Kedah.