16 warga asing ditahan di Kedah atas pelbagai kesalahan

Datuk Lokman Effendi Ramli

KULIM, 20 April – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah menahan seramai 16 warga asing terdiri daripada 10 warga China, lima Bangladesh dan seorang Myanmar ditahan atas pelbagai kesalahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi memeriksa 33 warga asing di Kulim East Industrial Park; cubaan melarikan diri berjaya ditahan oleh penguat kuasa.
  • Semua ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963, dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut.
  • Dari Januari hingga 16 April, 658 warga asing ditahan hasil 227 operasi; 16 majikan diambil tindakan; nasihat jangan menggajikan warga asing tidak layak.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, penahanan itu dilakukan selepas memeriksa 33 warga asing dalam operasi ke atas rumah pekerja di Kulim East Industrial Park, Padang Meha, di sini

“Sewaktu pihak berkuasa atau pegawai penguat kuasa tiba, terdapat cubaan melarikan diri seperti kebiasaan. Walau bagaimanapun, hasil kecekapan penguat kuasa, individu yang cuba melarikan diri itu berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi ke atas rumah pekerja di Kulim East Industrial Park, Padang Meha, di sini awal pagi tadi.

Seramai 30 pegawai penguat kuasa imigresen Kedah memeriksa dua blok berkembar dua tingkat yang dihuni pekerja warga asing yang bekerja di sekitar kawasan industri berhampiran.

Kesemua warga asing terbabit ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan akan dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa seramai 658 warga asing dari pelbagai negara telah ditahan di Kedah bagi tempoh Januari hingga 16 April lalu hasil 227 operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah di seluruh negeri itu.

Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, sepanjang operasi tersebut, 16 majikan telah diambil tindakan kerana melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Jadi, saya ingin menasihatkan khususnya kepada para majikan supaya tidak menggajikan warga asing yang tidak layak.

“Contohnya, mereka yang tidak mempunyai pas kerja, menggunakan pas lawatan sosial tetapi bekerja, atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

“Sekiranya majikan terlibat dalam perkara seperti ini, mereka boleh dikenakan tindakan dari sudut undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta agar menyalurkannya kepada jabatan itu untuk diambil tindakan yang sewajarnya.