
SAUDARA PENGARANG,
- Gred C sebagai penanda aras bukan untuk menghukum tetapi sebagai jaring keselamatan memastikan penguasaan asas kehidupan.
- Pelaksanaan mesti disertai sokongan berlapis: pemulihan awal, latihan guru, penilaian berterusan dan kerjasama ibu bapa.
- Pendidikan adil bermakna memberi peluang munasabah bagi semua murid mencapai hasil minimum, bukan memberi keputusan sama kepada semua.
Apabila Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 mengumumkan syarat lulus minimum Gred C bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, reaksi masyarakat segera terbelah.
Ada yang melihatnya sebagai langkah tegas yang wajar, namun tidak sedikit ibu bapa yang bimbang ia akan menekan murid dan ‘menghukum’ mereka yang tercicir. Persoalannya, adakah sasaran minimum ini benar-benar satu kezaliman, atau kita sebenarnya terlepas pandang maksud sebenar sebuah ‘garis perlindungan’ dalam pendidikan?
Dalam perbincangan harian, istilah KPI (Indikator Prestasi Utama) sering kali disalah erti sebagai beban peperiksaan semata-mata. Apabila angka sasaran diperketat, ia lantas dianggap sebagai punca stres dan penutup peluang masa depan.
Namun hakikatnya, standard minimum ini bukan bertujuan melahirkan pelajar yang cemerlang luar biasa semata-mata. Ia adalah sebuah ‘jaring keselamatan’ untuk memastikan tiada anak-anak kita yang terlepas daripada penguasaan asas yang diperlukan untuk bertahan dalam kehidupan sebenar.
Lihat sahaja analogi dalam pendidikan perubatan. Konsep pendidikan berasaskan keberhasilan (outcome-based education) sudah lama diamalkan dalam bidang ini. Seorang graduan perubatan wajib mencapai tahap kompetensi minimum sebelum dibenarkan berkhidmat.
Tahap minimum ini bukan untuk memastikan semua graduan menjadi pakar, tetapi untuk memastikan mereka selamat bagi pesakit dan juga sistem kesihatan. Jika seorang pelajar perubatan gagal menguasai asas seperti pemeriksaan klinikal atau komunikasi dengan pesakit, sistem tidak akan berpeluk tubuh dengan alasan setiap orang ada kekuatan berbeza.
Sebaliknya, sistem akan segera bertanya tentang punca kegagalan dan apakah langkah pemulihan yang perlu dilakukan. Fokus utamanya bukan untuk menghukum, tetapi untuk melindungi masyarakat.
Logik yang sama sebenarnya terpakai di sekolah. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bukan sekadar subjek untuk lulus peperiksaan. Ia merupakan keupayaan membaca dan menulis untuk kegunaan harian seperti membaca arahan, menulis permohonan, memahami kontrak, dan berkomunikasi dengan berkesan.
Matematik pula adalah asas kepada celik angka bagi membantu individu mengurus kewangan, menilai risiko, dan membuat keputusan harian yang rasional. Sejarah pula, walaupun sering dipersoalkan, sebenarnya membentuk kefahaman sivik dan identiti kebangsaan.
Menetapkan Gred C sebagai tahap minimum bukan bertujuan menolak murid yang lemah, tetapi untuk memastikan tiada murid dibiarkan melangkah ke alam dewasa tanpa asas yang kukuh. Zalim bukan apabila sistem menetapkan garis. Sebaliknya, kezaliman berlaku apabila sistem tidak menyediakan sokongan untuk membantu murid melepasi garis tersebut.
Pengupayaan ini berkait rapat dengan peranan guru di dalam kerangka MADANI untuk Pendidikan. Sebagai ejen hadapan, guru memupuk enam nilai teras utama iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan bagi melahirkan insan yang seimbang serta manusiawi.
Sehubungan itu, KPI atau sasaran minimum ini tidak seharusnya dilihat sebagai beban peperiksaan akhir yang menakutkan, sebaliknya ia perlu diterjemahkan melalui aktiviti bilik darjah dan bimbingan guru yang konsisten.
Ini selari dengan prinsip pendidikan berpaksikan insan yang melihat murid sebagai manusia untuk dibimbing, bukan sekadar nombor di atas kertas. Dalam dunia perubatan, menetapkan hasil tanpa sokongan adalah resipi kegagalan. Sebab itu, kurikulum tersebut mesti disertai dengan bantuan awal, penilaian berterusan, dan bimbingan yang konsisten.
Apabila seorang pelajar menunjukkan kelemahan di peringkat awal, langkah pemulihan terus dibuat sebelum masalah menjadi lebih teruk. Prinsip inilah yang wajar diterapkan sepenuhnya di sekolah.
Perbahasan sebenar bukan tentang sama ada KPI minimum ini patut wujud atau tidak, tetapi tentang bagaimana ia dilaksanakan. Jika KPI hanya muncul sebagai angka di atas sijil, maka kebimbangan ibu bapa adalah berasas.
Namun, jika ia menjadi kompas kepada sokongan berlapis seperti pemulihan literasi awal, latihan guru yang lebih terfokus, dan kerjasama erat ibu bapa, maka ia akan menjadi alat keadilan pendidikan.
Perlu diakui bahawa tidak semua murid bergerak pada kelajuan yang sama. Pendidikan yang adil bukan bermaksud memberi hasil yang sama kepada semua, tetapi memastikan setiap murid diberi peluang yang munasabah untuk mencapai hasil minimum.
Akhirnya, penetapan garis minimum ini bukan soal bertegas atau berlembut. Ia adalah soal tanggungjawab negara bagi memastikan setiap anak Malaysia mempunyai asas yang mencukupi untuk berdikari, bekerja, dan menyumbang kepada masyarakat.
Bagi memastikan matlamat ini tercapai, gerak kerja yang bersepadu daripada semua pihak amatlah diperlukan. Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memastikan bahawa sasaran ini sentiasa disertai dengan bantuan awal serta pemantauan yang berterusan, bukannya sekadar mengejar laporan angka semata-mata.
Di peringkat sekolah pula, para pendidik harus menterjemahkan sasaran ini ke dalam corak pengajaran harian agar ia tidak hanya tertumpu kepada persediaan peperiksaan yang kaku. Pada masa sama, sokongan padu perlu diberikan kepada guru melalui latihan yang mencukupi serta ruang masa yang fleksibel untuk mereka memberikan bimbingan individu kepada murid yang memerlukan perhatian lebih.
Peranan ibu bapa dan komuniti juga tidak kurang pentingnya untuk melihat sasaran ini sebagai satu bentuk alat sokongan demi masa depan anak-anak, bukannya satu label kegagalan yang membebankan emosi.
Jika semua pihak benar-benar percaya bahawa pendidikan adalah sebuah proses jangka panjang, maka penetapan garis minimum ini bukanlah satu kezaliman. Sebaliknya, ia merupakan satu janji dan tanggungjawab negara bagi memastikan tiada seorang pun anak Malaysia yang dibiarkan melangkah ke masa depan tanpa persediaan asas yang sepatutnya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Dr Mohd Salami Ibrahim
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)