Rasuah perlu ditangani secara sistematik

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Rasuah sudah menjadi endemik dan sistematik, memerlukan tindakan menyeluruh bukan hanya penguatkuasaan.
  • Perlu pelan perangi rasuah yang sistematik; Rombakan sistem, tadbir urus kukuh, automasi dan digitalisasi.
  • Pendidikan integriti dan pembentukan jati diri masyarakat penting bagi mencegah rasuah dari akar umbi.

Walaupun pelbagai usaha membanteras rasuah terus digerakkan, hakikatnya amalan rasuah di negara ini masih berleluasa dan semakin membimbangkan. Pendedahan demi pendedahan oleh pihak berkuasa menunjukkan rasuah bukan lagi berlaku secara terpencil.

Sebaliknya telah meresap ke dalam pelbagai lapisan organisasi dan sistem pentadbiran, dengan nilai kerugian yang besar serta modus operandi yang semakin tersusun. Realiti pahit inilah yang menuntut perhatian serius semua pihak terhadap keperluan memerangi rasuah secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam konteks inilah, sejak mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cukup konsisten dalam usaha memerangi rasuah dan segala bentuk penyelewengan dalam jentera pentadbiran negara.

Selari dengan komitmen tersebut, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan agar perasuah diburu hingga ke akar umbi, termasuk pemberi, penerima serta pihak yang bersubahat, sebagai isyarat jelas bahawa rasuah merupakan ancaman serius terhadap masa depan negara.

Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin agresif dalam menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat, selain melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan pencegahan namun masalah rasuah dan penyelewengan masih belum mampu dinoktahkan sepenuhnya.

Harus diakui masalah rasuah di negara kita sudah memasuki fasa endemik dan terlalu sistematik, sekali gus menyukarkan apa saja usaha pencegahan yang cuba dibuat oleh pihak berkuasa. Ini juga menunjukkan usaha memerangi rasuah tidak boleh disandarkan ke bahu pihak kerajaan mahupun pasukan penguatkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak yang terlibat.

Jujurnya mana mungkin kita mampu memperbaiki kerosakan sistem yang telah berlaku berpuluh tahun melalui beberapa aktiviti penguatkuasaan mahupun pendidikan pencegahan yang lazim dibuat. Hal ini penting untuk diamati kerana rasuah yang berlaku boleh dikatakan sudah berakar umbi dan merebak dari satu generasi ke generasi yang berikutnya sebagai warisan yang sangat memalukan.

Akibatnya rasuah menjadi virus yang terlalu sukar diubati, malah belum ada penawar atau vaksin yang mampu mengubati secara total atau menghentikan penularannya.

Secara analoginya, apa yang sedang berlaku ialah pekerja senior mempengaruhi pekerja baharu untuk sama-sama terlibat dalam pelbagai salah laku di organisasi masing-masing. Segala sistem yang ada disalahguna dan dimanipulasi supaya membantu mereka mengaut keuntungan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

Kita perlu sedar rasuah adalah masalah moral dan jati diri individu yang tidak boleh ditangani dengan hukuman semata-mata. Justeru kita memerlukan ‘Pelan Perangi Rasuah’ yang lebih sistematik, tangkas dan boleh memberikan hasil yang dimahukan, yakni mampu memperbaiki sistem moral dan jati diri anggota masyarakat ke tahap yang lebih tinggi.

Keperluan asas untuk memerangi rasuah ialah nilai moral dan jati diri yang terpuji sebagai benteng yang mampu menghalang diri dari menerima, memberi atau bersubahat dalam apa jua aktiviti tidak bermoral.

Tuntasnya, kita perlu memastikan setiap pekerja ada nilai integriti yang tinggi dan melaksanakan tugas dengan amanah sekali gus tegas mengatakan tidak kepada rasuah dan salah guna kuasa.

Kita juga perlu melahirkan warganegara yang memiliki jati diri yang ampuh yang tidak memberi rasuah atau menjadi ejen yang bersubahat demi kepentingan diri atau mana-mana kelompok tertentu untuk mendapatkan sesuatu keperluan yang diidamkan.

Hakikatnya, ini bukan tugas mudah kerana melibatkan komitmen keseluruhan ekosistem pendidikan, politik, sosial, kekeluargaan, penguatkuasaan dan undang-undang. Setiap komponen dalam ekosistem ini perlu cakna dengan masalah moral yang sedang negara hadapi sekarang, lantas memikul tanggungjawab untuk melancarkan peperangan terhadap rasuah dan penyelewengan.

Anggota masyarakat perlu sedar betapa ini bukan lagi soal musuh di medan perang atau di batas sempadan negara, sebaliknya musuh dalam selimut yang wajar dilabel sebagai pengkhianat yang sengaja mahu menghancurkan negara ini. Kelompok ini hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan nasib orang lain.

Cabaran besar kepada kita ialah, musuh seperti ini ada yang nampak dengan jelas sekali gus boleh kita mengambil tindakan sewajarnya, namun ramai yang bijak memanipulasi segala sistem yang ada untuk melindungi diri. Kelompok ini sukar dikesan dan mula menimbulkan pelbagai kerosakan kepada sistem yang ada.

Justeru selain tekad politik perdana menteri dan kerajaan serta ketangkasan pihak berkuasa seperti SPRM, seluruh sistem yang ada perlu dirombak dan dibersihkan supaya masalah moral yang sudah berakar umbi ini dapat diperangi dan dibersihkan sepenuhnya.

Ini tindakan yang paling penting kerana apa yang sedang berlaku sekarang ialah, apabila pihak berkuasa menangkap dan mendakwa kelompok yang terlibat dengan rasuah di sesebuah organisasi itu belum cukup untuk menghancurkan keseluruhan sindiket yang telah menjadi virus rasuah yang sedang menyerang organisasi tersebut.

Umpama patah tumbuh hilang berganti, kelompok yang ditangkap akan keluar dari sistem tetapi bagaimana dengan saki baki rakan subahat mereka yang mewarisi aktiviti tersebut dan masih berakar umbi dalam setiap organisasi?

Untuk itulah usaha memerangi rasuah perlu disokong dengan reformasi sistem yang dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan. Antara tindakan segera ialah, memperkukuh tadbir urus organisasi, mengurangkan ruang budi bicara melalui automasi dan digitalisasi urusan pentadbiran, serta memperkasa pendidikan integriti di semua peringkat.

Pendekatan ini penting bagi menutup ruang salah guna kuasa, meningkatkan ketelusan dan membina budaya kerja yang berasaskan amanah. Tanpa pembaikan sistem yang jelas dan konsisten, usaha pencegahan rasuah akan terus berdepan kekangan dan sukar mencapai hasil yang diharapkan.

Secara prinsipnya bukan mudah mewujudkan sistem pentadbiran dan anggota masyarakat yang bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa secara total, tetapi itu bukan alasan untuk kita berdiam diri atau berputus asa. Justeru usaha memerangi rasuah perlu dilipatgandakan dengan lebih berani, tegas dan bermula dari akar umbi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my