fb fb fb fb fb

Ringgit susut berbanding dolar AS pada sesi awal

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada urus niaga awal Selasa, prestasi sama untuk hari kedua berturut-turut bagi minggu ini apabila unit negara maju itu terus mengukuh berbanding mata wang lain, kata penganalisis.

Pada pukul 9.32 pagi, ringgit menyusut kepada 4.6835/6880 berbanding dolar AS daripada paras 4.6670/6745, semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata terdapat kemungkinan permintaan terhadap emas dalam dolar AS susulan kebimbangan berkaitan geopolitik di Timur Tengah, AS dan China.

Pada masa sama, katanya, pasaran turut memantau rapat mengenai pendirian berkaitan dasar daripada kalangan pegawai Rizab Persekutuan (AS) pada minggu ini, didorong oleh kemungkinan penangguhan kadar faedah akibat senario inflasi yang kurang memberangsangkan.

“Dagangan suram selepas China tidak melaksanakan sebarang tindakan menurunkan kadar faedah yang hanya menjadi berita buruk dari segi pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, wujud negatif berganda dari segi dasar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua hli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata risiko mengelak risiko agak ketara sekarang apabila China dilaporkan dalam aliran deflasi dengan trend indeks harga penggunanya negatif untuk bulan ketiga berturut-turut.

Pada masa sama, People’s Bank of China mengejutkan pasaran apabila tidak mengurangkan kadar faedah utamanya ketika dolar AS terus mengukuh berbanding mata wang utama termasuk euro dan pound Britain, katanya.

"Akibatnya, ringgit terus susut berbanding dolar AS dengan paras rintangan segera semalam di paras 4.6611. Unit tempatan itu turut bergerak sekitar RM4.6840 setakat 8.52 pagi ini iaitu turun 0.28 peratus daripada paras akhir urus niaga semalam," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 5.1158/1207 daripada 5.1076/1158 pada Isnin; turun berbanding pound Britain kepada 5.9443/9500 daripada 5.9388/9483 semalam dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2103/2316 daripada 3.2029/2085 sebelum ini.

Selain itu, prestasi ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3406/3580 daripada 13.3518/3802 semalam namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5051/5087 daripada 3.4982/5041; turun berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.5 daripada 299.9/300.6 serta rendah berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.36/8.38. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA