
KUALA LUMPUR, 18 September – Kenaikan harga arang batu yang mencecah AS$148 setan pada 10 September 2026 memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
- Kenaikan harga arang batu memberi tekanan kepada kos penjanaan elektrik dan operasi sistem bekalan tenaga negara.
- Permintaan puncak pada 9 September meningkat 4.7% kepada 21,949 MW tetapi masih dalam julat margin rizab yang boleh ditampung.
- Harga minyak mentah Brent naik 8.9% pada Ogos, manakala harga LNG meningkat 13.2%, dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik Asia Barat.
Jelas beliau, harga arang batu meningkat secara sederhana pada Ogos kepada AS$130.67 setan daripada AS$129.63 setan pada Julai
Tambah beliau, permintaan puncak harian pada 9 September turut meningkat 4.7 peratus kepada 21,949 megawatt berbanding purata Ogos.
“Bagaimanapun, peningkatan itu masih berada dalam julat margin rizab yang mampu ditampung sistem bekalan elektrik sedia ada.
“Kerajaan akan memastikan kapasiti penjanaan dan sistem bekalan elektrik mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi, memenuhi keperluan rakyat dan memperkukuh daya tahan sistem tenaga negara,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) Bilangan 15 Tahun 2026, di Bangunan Perdana Putra, disini hari ini.
Sementara itu, harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) turut meningkat susulan perkembangan geopolitik terkini di Asia Barat.
Beliau berkata, purata harga minyak mentah Brent pada Ogos meningkat 8.9 peratus kepada US$90.88 setong berbanding US$83.42 setong pada Julai.
“Pada minggu ini, harga harian Brent turut melebihi US$120 setong, berbanding purata yang lebih rendah pada Ogos.
“Bagi LNG, purata harga meningkat 13.2 peratus daripada US$19.32 setiap juta BTU (MMBtu) pada Julai kepada US$21.87 pada Ogos, sebelum menghampiri US$30 setiap juta BTU (MMBtu) pada pertengahan September,” jelasnya.