Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada Ogos 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 September – Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan Pengangkutan meningkat 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada Julai 2026.
  • Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain meningkat 2.1 peratus didorong oleh Elektrik, gas dan bahan api naik 3.3 peratus.
  • Sembilan negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional termasuk Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Pahang, Labuan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Putrajaya.

DOSM dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Ogos 2026 memaklumkan, berbanding Ogos 2025 mata indeks meningkat kepada 137.5 daripada 134.9 mata.

”Peningkatan ini didorong oleh kumpulan Pengangkutan yang meningkat 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada Julai 2026.

”Kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan serta Perkhidmatan meningkat 3.2 peratus pada Ogos 2026 berbanding 2.9 peratus pada Julai 2026,” menurut DOSM dalam kenyataannya hari ini.

Di samping itu, kumpulan Makanan dan Minuman meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 daripada 1.8 peratus Julai 2026.

Peningkatan kumpulan itu yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP didorong oleh subkumpulan Makanan di rumah yang meningkat 1.4 peratus berbanding 1.2 peratus pada Julai 2026.

Subkumpulan Makanan di luar rumah meningkat 2.5 peratus, kadar sama dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Jelas DOSM, kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain meningkat 2.1 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus pada Julai 2026. Ia didorong oleh subkumpulan Elektrik, gas dan bahan api yang meningkat 3.3 peratus berbanding 2.0 peratus pada Julai 2026.

Tambah DOSM, kumpulan Restoran dan Perkhidmatan Penginapan masing-masing meningkat 2.1 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus dan 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Peningkatan turut dicatatkan kumpulan Minuman Alkohol dan Tembakau sebanyak 2.8 peratus daripada 2.7 peratus pada bulan terdahulu, manakala kumpulan Kesihatan meningkat 1.3 peratus berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Sebaliknya, kumpulan Maklumat dan Komunikasi menyederhana kepada 2.6 peratus berbanding 3.4 peratus pada Julai 2026.

Kumpulan Pendidikan dan Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan masing-masing meningkat perlahan kepada 1.9 peratus dan 1.1 peratus.

Trend sama turut dicatatkan kumpulan Insurans dan Perkhidmatan Kewangan yang meningkat 1.0 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.1 peratus bulan sebelumnya.

Jelas DOSM, sembilan negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional, iaitu Negeri Sembilan pada 2.5 peratus, Johor, Kedah, Pahang, Labuan masing-masing 2.3 peratus, Selangor dan Kuala Lumpur pada 2.1 peratus, manakala Melaka dan Putrajaya masing-masing 2.0 peratus.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.