
KUALA LUMPUR, 18 September – Kadar Dasar Semalaman (OPR) berpotensi dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus pada 2027, sekiranya bank pusat global meneruskan langkah mengetatkan dasar monetari.
- Pasaran mempertimbangkan kemungkinan kenaikan FFR menjelang akhir 2026 yang boleh mendorong negara lain menyesuaikan kadar faedah.
- Kenaikan OPR 50 mata asas dianggap sukar kerana OPR tidak bergerak seiring FFR dan inflasi domestik masih terkawal.
- Kenaikan OPR umumnya meningkatkan margin faedah bersih bank melalui pelarasan kadar pinjaman dan hasil pinjaman lebih tinggi.
- MBSB Research mengekalkan saranan positif sektor perbankan disokong prospek dividen, pertumbuhan pinjaman, pendapatan fi dan kawalan kos operasi.
MBSB Research menyatakan, pasaran kini mengambil kira kemungkinan kenaikan 25 mata asas Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026, yang berpotensi mendorong negara lain menyesuaikan kadar faedah masing-masing.
”Terdapat kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas, namun agak sukar bagi kenaikan 50 mata asas memandangkan OPR tidak bergerak seiring dengan FFR secara langsung selain tekanan inflasi domestik masih terkawal.
“Jika berlaku, pelarasan OPR hanya akan berlaku pada 2027 kerana tiada keperluan untuk menaikkan kadar dengan segera memandangkan keadaan ekonomi domestik masih kukuh,” menurut nota penyelidikan firma itu hari ini.
Tambahnya, kenaikan OPR secara amnya akan memberi manfaat kepada margin faedah bersih (NIM) bank, melalui pelarasan semula kadar pinjaman, selain hasil pinjaman yang lebih tinggi.
Berdasarkan analisis senarionya, MBSB Research menjangkakan AmBank, Bank Islam Malaysia, Public Bank dan RHB Bank antara bank yang berpotensi memperoleh manfaat terbesar daripada peningkatan NIM.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan positifnya terhadap sektor perbankan, disokong oleh prospek dividen, pertumbuhan pinjaman perniagaan, pendapatan fi dan kawalan perbelanjaan operasi.