Tabung Haji pulih sistem utama selepas serangan siber

Gambar hiasan / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Lembaga Tabung Haji (TH) membuka semula sistem dan perkhidmatan utamanya selepas melaksanakan pemeriksaan keselamatan serta pemulihan sistem, susulan serangan siber pada 8 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua cawangan di Kedah, Terengganu dan Kelantan kembali beroperasi; negeri lain beroperasi seperti biasa.
  • TH bekerjasama dengan pakar luar dan agensi keselamatan siber, membuat laporan polis serta memaklumkan JPDP dan NACSA.
  • Beberapa fungsi THIJARI masih tidak tersedia; simpanan dijamin selamat. Laporkan transaksi luar biasa ke THCC di talian 03-6207 1919.

TH dalam kenyataan memaklumkan, semua cawangan di Kedah, Terengganu dan Kelantan kembali beroperasi pada Ahad, manakala cawangan di negeri lain dibuka seperti biasa hari ini.

Menurut TH, tindakan menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran sebelum ini bertujuan melindungi simpanan serta maklumat peribadi pendeposit.

“TH kesal atas serangan siber terhadap sistemnya yang menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pendeposit,” menurut kenyataan itu.

Sejak insiden berkenaan, TH bekerjasama dengan pakar luar dan pihak berkuasa keselamatan siber negara bagi menyiasat kejadian, menangani ancaman serta memulihkan sistem.

TH turut membuat laporan polis dan memaklumkan insiden itu kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Perkhidmatan melalui bank rakan strategik TH juga kembali beroperasi.

Bagaimanapun, bagi perkhidmatan THIJARI, fungsi penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun dalam talian masih belum tersedia kerana memerlukan tindakan pemulihan lanjut.

TH akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai fungsi berkenaan melalui saluran rasminya.

Dalam pada itu, TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat dan pemantauan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem yang dipulihkan beroperasi dengan lancar.

Pendeposit yang mengesan transaksi atau perkara luar biasa pada akaun masing-masing diminta segera memaklumkannya kepada TH.

Sebarang pertanyaan atau permohonan bantuan boleh disalurkan kepada Pusat Perhubungan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.