
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi pada Sabtu.
- Kedutaan Malaysia di Riyadh berhubung dan memberi bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan.
- Kementerian Luar memantau situasi rapat dan menasihatkan rakyat bersedia menghadapi kelewatan atau pembatalan serta mengesahkan status penerbangan.
- Rakyat digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat di portal e-Konsular serta mengikuti saluran rasmi dan arahan keselamatan pihak berkuasa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan bagi menyalurkan bantuan konsular yang diperlukan.
Kementerian Luar itu berkata situasi berkenaan sedang dipantau rapat dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan.
“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui, atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.
“Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, rakyat Malaysia yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum bergerak ke lapangan terbang,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular.
Mereka juga diminta mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Pendaftaran boleh dibuat melalui portal https://ekonsular.kln.gov.my.