KKM laksana 43 Hospital Kluster, perluas kepakaran

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Pelaksanaan 43 Hospital Kluster antara strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penduduk di luar bandar turut mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital kluster diterajui hospital utama untuk perkongsian sumber perubatan, peralatan dan kemudahan diagnostik antara hospital.
  • Perluasan kepakaran ke klinik kesihatan dan hospital tanpa pakar serta pengukuhan Perubatan Keluarga untuk rawatan dan pemantauan komuniti.
  • Akses pembedahan diperluas melalui kehadiran pakar, Program Penyumberluaran bagi kurangkan tunggakan serta kerjasama dengan hospital pengajar.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi usaha itu membolehkan perkongsian sumber perubatan, peralatan dan kemudahan diagnostik antara hospital dan hospital serta hospital utama dengan hospital tanpa pakar.

Beliau berkata, setiap Hospital Kluster tersebut diterajui oleh hospital utama.

“Di daerah Jelebu, Negeri Sembilan kita mempunyai ada dua Hospital Kluster. Satu diterajui oleh Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) yang merangkumi daerah Jelebu dan Rembau.

“Satu lagi diterajui oleh Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah yang merangkumi Tampin dan Jempol,” katanya.

Tambah beliau, KKM turut melaksanakan peluasan perkhidmatan kepakaran ke klinik kesihatan dan hospital tanpa pakar di luar bandar menerusi integrasi Hospital kluster yang membolehkan pesakit kronik mendapatkan rawatan serta menjalani saringan awal di peringkat penjagaan primer.

Sementara itu, perkhidmatan Pakar Perubatan Keluarga (FMS) turut dipergiat bagi membolehkan pesakit menerima penilaian, rawatan susulan dan pemantauan
berterusan di peringkat komuniti selepas dibenarkan keluar dari hospital
sekunder dan tertiari.

Dalam pada itu, akses kepada perkhidmatan pembedahan di hospital tanpa pakar turut diperluas, termasuk di Kota Marudu, Beaufort, Limbang dan Baling, menerusi kehadiran pakar untuk melaksanakan prosedur tertentu seperti pembedahan katarak dan hernia mengikut keperluan klinikal.

Menyentuh mengenai tempoh menunggu serta mengurangkan tunggakan rawatan, Program Penyumberluaran Hospital diadakan, yang membolehkan kes pembedahan dan ujian diagnostik tertentu dirujuk ke hospital swasta.

Program itu juga sedang diperkukuh melalui kerjasama dengan hospital pengajar universiti awam dan hospital berkaitan bagi meningkatkan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Datuk Seri Dr Dzulkefly menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berhubung langkah menangani ketidakseimbangan akses kepada doktor, pakar
dan kemudahan diagnostik antara hospital di bandar dengan hospital serta
klinik kesihatan di luar bandar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.