
PARLIMEN , 12 Oktober – Cadangan penubuhan Hospital MARA masih dalam penelitian dan kajian menyeluruh merangkumi permintaan lokasi, kapasiti, bidang kepakaran, anggaran kos pembiayaan serta keperluan perundangan dan kawal selia
- Jawatankuasa khas ditubuhkan melibatkan pakar, profesional dan alumni MARA untuk meneliti kebolehlaksanaan serta model pelaksanaan.
- Kajian dijangka diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sebelum kerja pra pelaksanaan dan mendapatkan kelulusan yang diperlukan.
- Penubuhan hospital merupakan cadangan kompleks, butiran terperinci masih diperhalusi dan belum diputuskan.
- MARA menumpu dua teras: modal insan melalui UniKL, KPTM, TVET dan usahawan profesional melalui PROSPECT (180 usahawan, 160 outlet).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti kebolehlaksanaan dan model pelaksanaan hospital berkenaan.
Ia melibatkan pakar dan golongan profesional, termasuk alumni MARA serta kepakaran dalaman.
‘’Dijangka kajian ini akan diselesaikan dalam tempoh 3 bulan sebelum kerja-kerja pra pelaksanaan dijalankan termasuk mendapatkan kelulusan kelulusan yang diperlukan.
”Penubuhan sebuah hospital merupakan cadangan yang kompleks dan memerlukan kajian yang sangat teliti.
”Oleh yang demikian perkara berkaitan dengan lokasi kapasiti katil bidang kepakaran anggaran kos sumber pembiayaan dan tarikh operasi masih sedang diperhalusi dan belum diputuskan lagi pada masa ini buat masa ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.
Sementara itu, MARA akan terus memberi tumpuan kepada dua teras utama dalam menyokong sektor kesihatan negara, iaitu pembangunan modal insan dalam bidang perubatan dan kesihatan serta pembangunan usahawan profesional.
Pembangunan modal insan dilaksanakan menerusi ekosistem pendidikan MARA, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan TVET MARA.
Manakala, pembangunan usahawan profesional dilaksanakan menerusi program PROSPECT yang melibatkan jenama Uni Klinik, Uni Farmasi dan Uni Dental.
Jelas beliau setakat ini, program berkenaan telah melahirkan 180 usahawan dengan 160 outlet di seluruh negara.