Kurangkan import, tingkat nilai eksport domestik

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap komponen dan bahan mentah import bagi meningkatkan nilai ekonomi daripada aktiviti eksport, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

RINGKASAN BERITA AI
  • Libatkan lebih banyak syarikat tempatan termasuk PKS dalam rantaian bekalan untuk kurangkan import dan tingkatkan lebihan dagangan.
  • Tingkatkan pengeluaran komponen dan produk separuh siap secara domestik supaya barangan eksport turut melalui proses pembuatan dalam negara.
  • Kembangkan eksport bukan E&E untuk menambah sumbangan perdagangan dan memperbaiki prestasi lebihan dagangan negara.
  • Galakkan penglibatan tempatan dalam semikonduktor bernilai tinggi termasuk pembungkusan termaju, bukan hanya pemasangan, ujian dan pembungkusan konvensional.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, lebih banyak syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dilibatkan dalam rantaian bekalan industri bagi mengurangkan import dan meningkatkan lebihan dagangan negara.

Beliau berkata, sektor E&E mencatatkan eksport bernilai RM712 bilion pada 2025, berbanding import kira-kira RM567 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sekitar RM145 bilion.

Bagi sektor bukan E&E pula, eksport bernilai RM897 bilion direkodkan pada tahun sama, manakala import berjumlah RM885 bilion, dengan lebihan dagangan hanya RM12 bilion.

“Dalam strategi kita ke hadapan, di samping mengembangkan eksport bukan E&E, kita juga mahu menekankan penglibatan syarikat tempatan dalam sektor E&E.

“Kita mahu pengeluaran komponen dan produk separuh siap yang sebelum ini diimport untuk menghasilkan barangan eksport turut melibatkan proses pengeluaran dalam negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Permatang Pauh di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan mahu meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam industri semikonduktor bernilai tinggi, termasuk aktiviti pembungkusan termaju dan bukan hanya pemasangan, pengujian serta pembungkusan konvensional.

Datuk Seri Johari berkata, Malaysian Advanced Packaging Consortium yang melibatkan lima syarikat turut digalakkan mengambil inisiatif untuk mengembangkan industri berkenaan dengan melibatkan syarikat hiliran tempatan.

Langkah itu diharap dapat meningkatkan sumbangan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan semikonduktor bernilai tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.