MAIWP Labuan: Salur lebih RM6 juta bantuan persekolahan

Foto RTM

LABUAN, 12 Oktober – Lebih RM6 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi Bantuan Am Persekolahan (BAP) di Labuan tahun ini, sebagai usaha menyokong pendidikan dan pembangunan anak-anak asnaf.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAIWP peruntuk RM250,500 untuk Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2026 dan RM59,500 untuk Bantuan Galakan Hafazan al-Quran.
  • Penyerahan cek peruntukan disempurnakan Ustaz Ahmad Talmizi Yahaya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI 2026.
  • Majlis meraikan 73 anak asnaf cemerlang dalam SPM dan STPM 2025.
  • Setiap penerima menerima sijil, insentif SSPN Prime antara RM2,000 hingga RM2,500 dan kredit e-dompet Boost RM1,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi Yahaya berkata, komitmen itu turut dizahirkan menerusi peruntukan RM250,500 bagi Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan RM59,500 untuk Bantuan Galakan Hafazan al-Quran bagi tahun 2026.

Penyerahan cek cura peruntukan itu disempurnakan beliau pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI MAIWP Labuan 2026.

Daripada keseluruhan peruntukan, RM6.057 juta diluluskan bagi Bantuan Am Persekolahan, manakala RM250,500 diperuntukkan untuk mengiktiraf kecemerlangan akademik pelajar.

Majlis itu turut meraikan 73 anak asnaf yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Daripada jumlah itu, 57 penerima kategori SPM memperoleh keputusan antara 4A hingga 11A, manakala 11 penerima kategori STPM mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) antara 3.00 hingga 4.00.

Setiap penerima menerima sijil penghargaan, insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime antara RM2,000 hingga RM2,500 serta kredit e-dompet Boost bernilai RM1,000 bagi pembelian telefon bimbit.

Nur Fatin Madihah Hamka dari Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM 2025 selepas memperoleh 11A, manakala Nur Atikah Sazwani dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan meraih gelaran Pelajar Terbaik STPM 2025 dengan PNGK 4.00.

Dalam kategori hafazan al-Quran, Abdul Wafi Sapar Rudin, 18, menerima Anugerah Huffaz Terbaik 2026 selepas berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran.

Sementara itu, lima huffaz menerima Insentif Galakan Hafazan MAIWP 2026 dengan nilai antara RM500 hingga RM6,000 seorang, berdasarkan jumlah juzuk yang dihafaz.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.