Kerajaan perkukuh kepelbagaian sektor eksport negara

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Kerajaan memperkukuh kepelbagaian sektor eksport negara bagi mengurangkan risiko kepada ekonomi Malaysia sekiranya berlaku kemerosotan kitaran sektor elektrik dan elektronik (E&E).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebergantungan tinggi pada sektor E&E mendedahkan ekonomi kepada risiko turun naik kitaran semikonduktor.
  • Kerajaan laksana tiga strategi: tambah nilai E&E, kembangkan sumber pertumbuhan lain, dan teroka pasaran eksport baharu.
  • Melalui NIMP 2030 dan NSS, fokus kepada aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar dan pembungkusan termaju serta teknologi tempatan.
  • Ekspansi pasaran ke Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin serta pemanfaatan perjanjian perdagangan bebas tingkatkan peluang pengeksport tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah eksport E&E mencatatkan sebanyak RM656.14 bilion, melebihi 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 sekali gus menunjukkan kebergantungan prestasi perdagangan negara terhadap sektor berkenaaan.

Menurutnya, industri semikonduktor terdedah kepada perubahan permintaan global, kelembapan ekonomi, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik dan dasar perdagangan.

“Sekiranya berlaku kemerosotan ketara dalam kitaran semikonduktor global, keadaan ini berpotensi mencetuskan pelarasan inventori dan pengurangan pengeluaran, sekali gus menjejaskan eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta prestasi eksport negara secara keseluruhan.

“Risiko ini akan menjadi lebih ketara sekiranya pertumbuhan sektor eksport lain tidak mencukupi untuk mengimbangi kelemahan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama bagi menangani situasi berkenaan iaitu meningkatkan nilai tambah kepada industri E&E, memperluas sumber pertumbuhan di luar sektor berkenaan dan meneroka pasaran eksport baharu.

Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kerajaan menyasarkan penglibatan lebih luas dalam aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju, selain memperkukuh keupayaan teknologi tempatan.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, eksport barangan sektor bukan E&E mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi beberapa sektor utama, termasuk farmaseutikal sebanyak 19.0 peratus, automotif 12.3 peratus, keluaran petroleum 26.6 peratus dan gas asli cecair 17.2 peratus,” katanya lagi.

Usaha kepelbagaian turut diperluas melalui penerokaan pasaran bukan tradisional di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin, selain memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas bagi memperluas akses pengeksport tempatan.

Eksport ke tiga-tiga rantau berkenaan secara kolektif meningkat 18.5 peratus kepada RM59.16 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

Datuk Seri Johari berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Dewan Rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.