
KOTA BHARU, 12 Oktober – Peruntukan RM19.1 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Belanjawan 2027 berupaya memperkukuh kebajikan mahasiswa, menaik taraf prasarana universiti serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
- Tumpuan kepada kebajikan mahasiswa melalui bantuan makanan, pembiayaan pendidikan fleksibel dan pengekalan subsidi supaya pelajar tidak tercicir akibat kekangan kewangan.
- Menaik taraf kolej kediaman, makmal dan kemudahan pembelajaran serta pendigitalan kampus untuk persekitaran pengajian lebih kondusif.
- Memperkasa latihan kemahiran, keusahawanan dan kerjasama strategik universiti dengan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mobiliti sosial.
Rektor UITM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata peningkatan peruntukan sebanyak RM500 juta itu memberi ruang kepada institusi pengajian tinggi memperluas akses pendidikan, khususnya kepada mahasiswa golongan B40.
“Peningkatan sebanyak RM500 juta menjadikan peruntukan keseluruhan RM19.1 bilion yang dikhususkan untuk pengajian tinggi sahaja, tidak termasuk pendidikan rendah.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap peranan universiti kita, khususnya dalam aspek pembangunan fizikal dan penyediaan infrastruktur yang lebih baik bagi menyokong kecemerlangan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Menurutnya, penyaluran peruntukan perlu diberikan kepada kebajikan mahasiswa menerusi bantuan makanan, pembiayaan pendidikan lebih fleksibel serta pengekalan subsidi pengajian bagi memastikan pelajar tidak tercicir akibat kekangan kewangan.
Selain itu, peruntukan bagi menaik taraf kolej kediaman, makmal dan kemudahan pembelajaran serta pendigitalan kampus turut penting bagi menyediakan persekitaran pengajian lebih kondusif.
Sementara itu, Profesor Dr Mohd Afandi juga menekankan terhadap latihan kemahiran, keusahawanan dan kerjasama strategik antara universiti dengan industri bagi melahirkan graduan yang berdaya saing.
Usaha berkenaan katanya, bukan sahaja meningkatkan peluang pekerjaan, malah menyediakan generasi muda mendepani keperluan ekonomi dan teknologi masa depan.
Bagi UiTM Kelantan, pelaburan dalam pendidikan tinggi juga menjadi pemangkin mobiliti sosial, khususnya dalam membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan meningkatkan taraf kehidupan.