
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 dijangka meringankan beban kewangan pembeli, khususnya golongan yang berdepan cabaran memiliki kediaman sendiri.
- REHDA menyambut penambahbaikan pengecualian duti setem, dan menggesa kerajaan semak had kelayakan serta pertimbangkan peluasan sehingga RM1 juta.
- Jaminan pembiayaan RM20 bilion di bawah SJKP dijangka memudahkan akses pinjaman kepada kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama berpendapatan tidak tetap.
- REHDA gesa semakan caj persekutuan dan negeri serta pertimbangkan semula HOC untuk menangani kos pemaju dan tingkatkan kemampuan memiliki rumah.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Zaini Yusoff berkata, penambahbaikan pelepasan duti setem, termasuk bagi hartanah berharga sehingga RM750,000, merupakan langkah positif dalam membantu pembeli rumah pertama.
“Bagaimanapun, REHDA berharap kerajaan terus menyemak had kelayakan insentif itu berdasarkan harga rumah semasa dan keadaan pasaran, termasuk mempertimbangkan peluasan pengecualian kepada hartanah berharga sehingga RM1 juta,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya pengecualian duti setem bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai juga dapat memudahkan projek berkenaan diteruskan, selain membantu pembeli yang terjejas.
Sementara itu, jaminan pembiayaan perumahan berjumlah RM20 bilion di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan berpendapatan tidak tetap.
“Menurut REHDA, akses kepada pembiayaan perumahan yang lebih baik penting bagi membantu bakal pembeli mengatasi kekangan mendapatkan pinjaman untuk memiliki rumah.
“Persatuan itu turut mengalu-alukan komitmen kerajaan menyediakan hampir RM1 bilion bagi program Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat bagi memperluas akses kepada kediaman mampu milik,”katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, REHDA menghargai pelanjutan Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek dan aset teknologi hijau yang layak sehingga 31 Disember 2030, bagi menggalakkan pembangunan mampan, khususnya dalam kalangan pemaju berskala kecil.
Bagaimanapun, peningkatan kos bahan binaan, tenaga kerja dan pematuhan peraturan terus memberi tekanan kepada pemaju dalam menyediakan rumah mampu milik.
Sehubungan itu, REHDA mencadangkan kerajaan menyemak pelbagai caj di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk caj infrastruktur, utiliti, berkanun dan kawal selia, bagi menangani isu kemampuan memiliki rumah secara lebih menyeluruh.
REHDA turut berharap kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC), khususnya bagi membantu penjualan unit kediaman siap yang masih belum terjual, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri.