
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Sebanyak 25 lorong tidak rasmi dikenal pasti di Perlis setakat September lalu, mendorong Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuh operasi bersepadu bagi membanteras jenayah rentas sempadan.
- Tindakan penguatkuasaan menyasarkan tekong, pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan yang menyokong kegiatan penyeludupan.
- Penyelarasan risikan dan operasi bersama diperkemas dengan penglibatan AKPS, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
- Kerajaan membangunkan SKSN berasaskan AI dan analitik, serta menaik taraf pengawasan termasuk kamera, lampu limpah, dron, jeti dan menara tinjau.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan penguatkuasaan turut menyasarkan tekong, pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan yang menyokong kegiatan penyeludupan.
“Penyelarasan risikan dan operasi bersama di lapangan sentiasa diperkemas dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memaksimumkan impak operasi di sempadan Perlis,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Besar di Dewan Rakyat hari ini.
Antara agensi terlibat ialah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Beliau berkata, usaha membanteras sindiket turut melibatkan penggunaan undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram dan antipemerdagangan orang bagi melumpuhkan rangkaian jenayah berkenaan.
Dalam pada itu, kerajaan membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN) yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan perkongsian maklumat masa nyata bagi mengesan pergerakan mencurigakan serta mempercepat tindakan penguatkuasaan.
Sistem pengawasan itu merangkumi 40 kamera dan 264 lampu limpah yang meliputi 27 zon sepanjang 53.5 kilometer.
Datuk Seri Dr Shamsul berkata, PDRM turut menaik taraf sistem berkenaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Selain itu, perolehan lapan dron jenis pelepasan dan pendaratan menegak (VTOL) bernilai RM26 juta sedang dilaksanakan, manakala lima unit sistem risikan bergerak bernilai RM7 juta berada pada peringkat akhir pembekalan.
Kerajaan turut memperoleh 40 dron pelbagai jenis bernilai kira-kira RM5.2 juta serta membangunkan jeti dan menara tinjau di Pos Batu Putih, Perlis, bernilai RM20 juta. Kemudahan itu akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan dron.
Sementara itu, rampasan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Perlis bernilai RM6.657 juta pada 2025, manakala RM6.52 juta direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.