
KUALA LUMPUR, 18 September – Malaysia telah dilantik sebagai anggota Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi penggal 2026 hingga 2028 ketika sesi Persidangan Agung IAEA ke-70 yang berlangsung di Vienna, Austria, dari 14 hingga 18 September 2026.
- Komitmen Malaysia untuk menyumbang secara aktif menerusi pengalaman dan kepakaran demi menyokong peranan Lembaga Gabenor.
- Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota IAEA bagi memajukan non-proliferasi dan penggunaan tenaga nuklear yang selamat, terjamin dan aman.
- Lembaga Gabenor mengawasi operasi IAEA, meluluskan perjanjian keselamatan dan membuat keputusan dasar utama; Malaysia pernah menganggotai 10 penggal.
Menurut Kementerian Luar, pemilihan itu sekali lagi mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menyumbang secara aktif menerusi pengalaman dan kepakaran luas yang dimiliki demi menyokong mandat serta peranan penting Lembaga Gabenor.
“Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara-negara anggota IAEA dan agensi berkenaan dalam memajukan matlamat non-proliferasi serta menggalakkan penggunaan tenaga nuklear secara selamat, terjamin dan aman,” menurut kenyataan itu.
Sebagai salah satu badan pembuat dasar utama IAEA, Lembaga Gabenor yang dianggotai oleh 35 negara memainkan peranan penting dalam mengawasi operasi agensi, meluluskan perjanjian kawalan keselamatan (‘safeguards’), serta membuat keputusan dasar utama berkaitan kerjasama sains dan teknologi atom secara selamat, terjamin dan aman.
Sejak menyertai IAEA pada tahun 1969, Malaysia telah menganggotai Lembaga Gabenor sebanyak 10 penggal, dengan penggal terbaharu dari tahun 2020 hingga 2022.