PETALING JAYA, 17 Disember -Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu, Perodua Traz, yang dijangka merancakkan perkembangan industri automotif tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengenalan model itu bukan sahaja mengukuhkan rantaian bekalan industri automotif tempatan , malah turut meningkatkan sumbangan ekonomi syarikat kepada negara.
"Dengan adanya model ini, sumbangan kepada pembekal tempatan akan terus meningkat dan kami menjangkakan nilai pembelian tempatan yang kini melebihi RM11 bilion akan meningkat kepada lebih RM11.5 bilion pada tahun-tahun akan datang," katanya selepas melancarkan Perodua Traz, di Petaling Jaya, Selangor di sini.
Kenderaan lima tempat duduk yang direka berteraskan keperluan pemandu Malaysia, ditawarkan pada harga antara RM76,100 hingga RM82,000 dan melengkapkan barisan SUV Perodua sedia ada seperti Aruz dan Ativa.
Model baharu itu dibangunkan dengan kos projek sekitar RM563.3 juta dan mempunyai 95 peratus kandungan tempatan, sekali gus menyokong ekosistem pembekal tempatan serta meningkatkan nilai pembelian dalam negara.
Bagi model SUV baharu ini, syarikat menyasarkan jualan sekitar 1,900 unit sebulan dengan harga mampu milik serta sesuai dengan spesifikasi yang ditawarkan.
Penghantaran kenderaan tersebut dijangka bermula dalam masa terdekat di Semenanjung Malaysia, dengan pelanggan digalakkan mengunjungi bilik pameran Perodua untuk pandu uji dan tempahan awal.