fb fb fb fb fb

Harga getah diunjur kekal stabil pada minggu depan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Harga getah Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan dan cenderung mencatat peningkatan kecil berikutan faktor pengeluaran yang terhad.

Mantan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata faktor seperti kesan musim tengkujuh berkemungkinan mendorong kepada aktiviti pengumpulan stok simpanan.

Beliau berkata, walaupun hasil torehan getah berkurangan akibat hujan di negara-negara pengeluar, pasaran kekal menyaksikan aktiviti belian dalam julat kecil minggu depan dengan aktiviti belian tidak ketara.

“Aliran peningkatan harga dan permintaan sebelum ini ternyata telah menstabilkan pasaran dalam tempoh tuaian hasil yang rendah.

"Ini satu petunjuk jelas bahawa ketika dunia mengharapkan pemulihan ekonomi, namun ketidaktentuan itu masih ketara,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata faktor harga minyak dan dolar Amerika Syarikat (AS) juga terdedah kepada impak ketegangan geopolitik di Timur Tengah serta keadaan ekonomi semasa.

"Kita perlu berwaspada terhadap kesan turun naik harga minyak serta prestasi dolar AS yang boleh menjejaskan harga serta permintaan. Ketidakpastian ketara ini boleh menjejaskan perniagaan manakala pengukuhan dolar AS berupaya menjejaskan imbangan pembayaran (Malaysia)," katanya.

Pada masa sama, seorang peniaga berkata kalangan penggiat pasaran terus menunggu petunjuk seterusnya daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) membabitkan hala tuju kenaikan kadar faedah serta petunjuk baharu ekonomi China yang akan diumumkan pada minggu depan.

Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 naik 10 sen atau 1.47 peratus kepada 692.00 sen sekilogram (kg) daripada 682.00 sen sekilogram sebelum ini manakala lateks pukal menokok 11.5 sen kepada 542.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 adalah 688.00 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 543.00 sen sekilogram.- BERNAMA

(FOTO HIASAN)

Media Baharu