fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi susut kemudiannya

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini tetapi susut kemudiannya, bertentangan dengan trend serantau yang mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street semalaman yang lebih baik.

Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup tinggi semalam, dengan S&P 500 hampir kepada paras tertinggi berikutan keyakinan kecerdasan buatan (AI) memacu kenaikan dalam Nvidia dan pengeluar cip yang lain, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.13 mata kepada 1,477.05 daripada 1,479.18 pada Khamis.

Indeks barometer dibuka tinggi kepada 1,480.18.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 231 berbanding 137 manakala 230 kaunter tidak berubah, 1,667 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 451.32 juta unit bernilai RM111.47 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup kukuh pada amnya berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah semalaman.

“Ini walaupun keputusan pendapatan korporat bercampur-campur dan tuntutan mingguan yang rendah untuk faedah pengangguran menunjukkan pasaran buruh masih kukuh, tidak memberi alasan kepada Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah setakat ini manakala hasil 10 tahun AS naik kepada 4.142 peratus,” katanya.

Di Hong Kong, katanya Indeks Hang Seng mencatatkan peningkatan semula.

Di peringkat domestik, katanya FBM KLCI mengekalkan aliran penurunan semalam berikutan ia ditutup hanya di bawah paras 1,480.

“Kami melihat jualan adalah berlebihan berikutan asas masih kukuh. Bagaimanapun, sentimen secara keseluruhannya mungkin telah terjejas oleh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat beberapa saham wajaran tinggi politik.

“Diharapkan peningkatan semula tidak lama lagi, justeru, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,480 hingga 1,490 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot satu sen kepada RM9.01, Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM10.28, Petronas Chemicals berkurangan empat sen kepada RM6.72 manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.33 dan CIMB menambah satu sen kepada RM5.95.

Daripada saham aktif, Sarawak Consolidated merosot 30 sen kepada 23.5 sen, Widad berkurangan 7.5 sen kepada 11.5 sen, Tanco susut 16 sen kepada 35 sen, MMAG Holdings turun satu sen kepada sembilan sen manakala PA Resources naik 1.5 sen kepada 32 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 12.80 mata kepada 10,991.31, Indeks FBM 70 merosot 11.48 mata kepada 14,909.04, Indeks FBMT 100 susut 13.58 mata kepada 10,660.06, Indeks FBM Emas Shariah turun 28.38 mata kepada 11,082.88 dan Indeks FBM ACE jatuh 38.89 mata kepada 4,747.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 12.56 mata kepada 16,534.39, Indeks Hartanah merosot 5.86 mata kepada 873.87, Indeks Perladangan susut 7.15 mata kepada 7,117.40, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.62 mata kepada 171.78, bagaimanapun Indeks Tenaga naik 2.58 mata kepada 842.62.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE