
AYER KEROH, 15 Ogos – Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) telah diadakan sebanyak 19,322 kali di seluruh negara setakat Julai lalu, melebihi sasaran 17,500 yang ditetapkan pada tahun ini.
- Melibatkan lebih 25.5 juta transaksi, menunjukkan penggunaan meluas program.
- Pelaksanaan merangkumi 600 kawasan DUN dan 40 zon Wilayah Persekutuan, menumpukan pada kawasan berkeperluan tinggi dan akses terhad.
- Program menawarkan penjimatan kira-kira 10 hingga 30 peratus untuk barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, telur, minyak dan beras.
Ia melibatkan transaksi lebih 25.5 juta.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan PJRM meliputi 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.
Tumpuan diberikan kepada kawasan berkeperluan tinggi dan komuniti yang memerlukan, termasuk di luar bandar serta lokasi yang mempunyai akses terhad kepada jualan harga rendah.
Menurut beliau, KPDN akan terus memperluas pelaksanaan PJRM, selain mencari pendekatan baharu bagi memastikan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah dapat dibawa lebih dekat kepada rakyat.
“Program ini menawarkan penjimatan kira-kira 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat dan melibatkan pelbagai barangan keperluan seperti ayam, ikan, telur, minyak masak, tepung, beras, sayur-sayuran, buah-buahan serta barangan keperluan isi rumah,” kata Datuk Dr Fuziah.