UPSI sokong pemansuhan AUKU, mahu akta baharu perkasa autonomi universiti

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan baharu bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerangka perundangan baharu diperlukan untuk memperkukuh autonomi institusi pengajian tinggi dan menggalakkan kecemerlangan, penyelidikan dan inovasi.
  • Reformasi pendidikan tinggi mesti holistik, menekankan tanggungjawab, adab dan penguasaan ilmu selain kebebasan bersuara mahasiswa.
  • Pelaksanaan menyeluruh memerlukan kerjasama semua pemegang taruh termasuk kerajaan, mahasiswa, pentadbir, industri dan masyarakat.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus berperanan melahirkan generasi berilmu, seimbang dan berdaya saing di peringkat nasional serta global.

Beliau berkata langkah itu perlu dilihat sebagai satu anjakan dalam landskap perundangan pendidikan tinggi, selaras dengan agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 untuk membentuk Akta Pendidikan Tinggi Baharu yang lebih holistik dan berteraskan kecemerlangan.

“Kerangka perundangan baharu itu berpotensi memperkasa autonomi institusi pendidikan tinggi, selain menggalakkan kecemerlangan insan serta memperkukuh peranan universiti sebagai pusat pengembangan ilmu, penyelidikan dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pemansuhan AUKU tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut kebebasan bersuara mahasiswa, sebaliknya perlu turut menekankan aspek tanggungjawab, pembentukan adab dan akhlak serta penguasaan ilmu secara holistik.

Katanya, reformasi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara berani dan menyeluruh dengan mengambil kira peranan serta tanggungjawab semua pemegang taruh, termasuk kerajaan, mahasiswa, ibu bapa, pentadbir, warga institusi pengajian tinggi (IPT), industri dan masyarakat.

“UPSI sentiasa terbuka untuk memberikan kerjasama dari segi kepakaran dan pengalaman kepada KPT serta semua agensi yang terlibat dalam membangunkan kerangka perundangan baharu ini.

“Kami akan mengambil langkah proaktif dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memajukan ekosistem pendidikan tinggi demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berharap akta baharu yang bakal digubal mampu melahirkan generasi berilmu, seimbang dan holistik serta berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan kecemerlangan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.