
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 di ibu negara menyambut baik pembayaran bantuan berkenaan, dengan sebahagiannya menggunakan wang itu untuk keperluan persekolahan anak serta perbelanjaan harian.
- Bantuan STR membantu mengurangkan beban kewangan keluarga menghadapi kos sara hidup.
- Peniaga mikro anggap STR bermakna, membantu urus kewangan perniagaan kecil dan menampung pendapatan susut.
- Bayaran STR Fasa 3 disalurkan secara berperingkat kepada 5.3 juta penerima.
- Kerajaan memperuntuk RM1.2 bilion bagi STR Fasa 3; jumlah keseluruhan tiga fasa 2026 kini RM3.6 bilion.
Rata-rata penerima yang ditemui berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan, terutama dalam menghadapi kos sara hidup dan keperluan keluarga.
Seorang peniaga, Dafid Saliman berkata, sebahagian besar bayaran STR yang diterimanya digunakan untuk membeli keperluan anak-anak.
“Selalunya saya menerima RM500, kadang-kadang RM350 atau RM300. Kebanyakannya bantuan tersebut dibelanjakan untuk keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Farid Jamal berkata, bantuan berkenaan turut digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah serta keperluan persekolahan anak-anak.
“Tujuan saya menggunakan bantuan ini adalah untuk membeli barangan keperluan rumah seperti barang basah dan juga keperluan sekolah anak-anak.
“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini dan semoga bantuan ini dapat diteruskan,” katanya.
Bagi seorang lagi peniaga, Nurela Salleh, bantuan STR amat bermakna bagi golongan peniaga mikro yang berdepan cabaran mengurus perbelanjaan harian.
“Kita sekarang ni perniagaan agak kurang memberangsankan, tak seperti dahulu. Jadi, bagi kita peniaga kecil ini memang harapkanlah bantuan kerajaan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan ini. Walaupun jumlahnya tidak banyak, bantuan tersebut sangat bermakna dan sedikit sebanyak dapat membantu kami,” katanya.
Bayaran STR Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat pada Sabtu kepada 5.3 juta penerima.
Ia meningkat 300,000 berbanding 5 juta penerima pada awal tahun lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM1.2 bilion bagi pembayaran STR Fasa 3.
Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa pada 2026 kini mencecah RM3.6 bilion.