Kerjasama swasta bantu proses reintegrasi klien PUSPEN

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Datuk Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad (kanan) / Foto RTM

SEPANG, 16 Ogos – Kerjasama dengan sektor swasta dilihat penting dalam membantu proses reintegrasi klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ke dalam masyarakat, khususnya menerusi penyediaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan sokongan berterusan selepas tamat rawatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama sektor swasta menyediakan peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan sokongan berterusan untuk membantu klien PUSPEN kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat.
  • Penglibatan syarikat membuka peluang kedua, membina keyakinan diri dan mengurangkan kebimbangan terhadap stigma masyarakat.
  • Jaringan berterusan AADK, PUSPEN dan swasta membolehkan latihan praktikal, penggunaan tenaga kerja mahir dan kesinambungan sokongan selepas rawatan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, penglibatan sektor swasta mampu membuka lebih banyak peluang kedua kepada klien, sekali gus membantu mereka membina semula keyakinan diri untuk kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.

Beliau berkata antara pendekatan yang sedang diteroka ialah penglibatan syarikat swasta dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas klien AADK, selain berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan klien yang masih menjalani rawatan di PUSPEN.

“Program seperti ini selalu dibuat oleh banyak pihak swasta dan juga individu, tetapi kali ini saya lihat sesuatu yang baharu.

“Kita sudah belajar dan melalui pengalaman ini dengan hasrat supaya kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan. Dalam kalangan klien kita, apabila mereka keluar nanti, kita mahu mereka berlapang dada, tidak takut dan tidak bimbang untuk menangani masalah stigma masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Inspirasi Kehidupan Baharu PUSPEN Sepang di sini.

Datuk Ruslin berkata, peluang pekerjaan dan sokongan daripada sektor swasta juga dapat membantu klien melihat masa depan dengan lebih positif selepas tamat menjalani rawatan dan pemulihan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Datuk Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, sektor swasta mempunyai peranan dalam memastikan kemahiran yang dibangunkan sepanjang proses pemulihan dapat dimanfaatkan sebagai tenaga kerja.

Beliau berkata, peluang untuk kembali bekerja bukan sahaja memberi manfaat kepada bekas klien, malah membolehkan kemahiran dan keupayaan mereka dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

“Bagi pihak Boustead dan Royale Chulan, impak yang lebih besar adalah memastikan tenaga manusia ini digunakan sepenuhnya.

“Setiap tahun, kos yang digunakan oleh kerajaan amat besar bagi membaik pulih dan memulihkan semua klien seperti ini. Jadi, kalau kita dapat gunakan mereka sebagai pekerja mahir di Malaysia, insya-Allah aspirasi negara untuk menjadi negara maju dapat dicapai,” katanya.

Datuh Ahmad Sabirin berkata pihaknya bersedia meneruskan kerjasama dengan AADK, termasuk menyediakan latihan yang diperlukan klien PUSPEN sebagai persediaan sebelum kembali ke masyarakat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels and Resorts, Datuk Rosman Ibrahim berkata, jaringan antara AADK, PUSPEN dan sektor swasta penting bagi memastikan usaha membantu klien tidak terhenti ketika mereka masih berada di institusi pemulihan.

“Hubungan dan jaringan seperti inilah yang menjadikan program ini satu kejayaan. Hubungan dan jaringan seperti inilah yang memberi semangat kepada Royale Chulan Hotels and Resorts untuk terus berbakti kepada masyarakat demi memajukan semua anak bangsa,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk meneruskan dan memperluas jaringan kerjasama dengan AADK pada masa akan datang.

Program Inspirasi Kehidupan Baharu PUSPEN Sepang disertai kira-kira 50 kakitangan sektor swasta bersama klien PUSPEN menerusi pelbagai aktiviti pembangunan diri dan kemahiran.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kelas masakan, program motivasi, perlawanan bola sepak dan pengisian kerohanian.

Kerjasama antara AADK dan sektor swasta itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada klien mengenai peluang pekerjaan dan kemahiran, malah menjadi sebahagian daripada usaha membantu mereka kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat selepas tamat rawatan dan pemulihan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.