Fungsi pelaburan TH perlu diasingkan, perkukuh tadbir urus – Pakar

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azreen Hamiza Abdul Aziz / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) wajar dikekalkan sebagai satu entiti, namun fungsi pengurusan pelaburan dan pengurusan haji perlu diasingkan dengan jelas bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan kedua-dua mandat dilaksanakan secara profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengasingan fungsi tidak semestinya memerlukan pemecahan institusi; perlu fokus pada peranan, akauntabiliti dan proses membuat keputusan jelas.
  • Perlu dasar jelas mengenai pembiayaan subsidi haji, pengagihan keuntungan dan had penggunaan dana untuk menyeimbangkan kepentingan pendeposit dan kebajikan jemaah.
  • Reformasi tadbir urus termasuk pengukuhan pengurusan, ketelusan dan akauntabiliti perlu jadi keutamaan supaya perubahan struktur berkesan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azreen Hamiza Abdul Aziz berkata, pengasingan fungsi tidak semestinya memerlukan TH dipecahkan kepada dua institusi berbeza.

Beliau berkata fungsi pelaburan lebih tertumpu kepada usaha menjana pulangan serta menjaga nilai dana pendeposit, manakala pengurusan haji memberi tumpuan kepada kebajikan jemaah dan penyediaan perkhidmatan haji.

“Pemisahan ini tidak semestinya bermaksud mewujudkan dua institusi yang berbeza.

“Yang lebih penting ialah pengasingan fungsi, akauntabiliti dan proses membuat keputusan supaya setiap mandat dapat dilaksanakan dengan lebih jelas dan profesional,” katanya ketika dihubungi RTM.

Dr. Azreen berkata, pendekatan itu berupaya mengurangkan konflik antara matlamat menjana pulangan pelaburan dengan tanggungjawab sosial TH, namun persoalan berkaitan penggunaan dana masih perlu ditangani kerana kedua-dua fungsi bergantung pada sumber yang sama.

“Kita perlukan satu dasar yang jelas mengenai pembiayaan subsidi haji, pengagihan keuntungan dan juga had penggunaan dana supaya kepentingan pendeposit serta kebajikan jemaah dapat diseimbangkan dengan adil,” katanya.

Beliau berkata reformasi tadbir urus perlu menjadi keutamaan kerana perubahan struktur semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai pengukuhan pengurusan, ketelusan dan akauntabiliti.

“Tanpa budaya amanah, ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh, sebarang perubahan struktur tidak akan memberikan perubahan yang berkesan,” katanya.

Pandangan itu selari dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH yang mencadangkan institusi berkenaan dikekalkan sebagai satu entiti, namun mewujudkan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji bagi mengurus dan melaburkan dana pendeposit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.