
TAWAU, 16 Ogos – Gempa bumi kuat 6.1 magnitud yang mengegarkan Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia awal pagi tadi, turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah.
- METMalaysia melaporkan gempa pada 00:25, koordinat 0.1S, 120.6E, pada kedalaman 10 kilometer.
- Gegaran dirasai di Tawau, Lahad Datu dan Semporna; setakat ini tiada laporan kerosakan.
- METMalaysia mengesahkan tiada ancaman tsunami; orang ramai diminta mengisi soal selidik, bomba Tawau menjalankan rondaan.
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa bumi berlaku pada pukul 12:25 pagi, di koordinat 0.1 darjah selatan dan 120.6 darjah timur, pada kedalaman 10 kilometer (km).
Pusat gempa bumi berkenaan dikesan kira-kira 116km timur laut dari Palu, Indonesia.
Gegaran turut dirasai di Tawau, Lahad Datu dan Semporna, namun setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan atau kejadian tidak diingini susulan gegaran berkenaan.
METMalaysia turut mengesahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian tersebut.
“Orang ramai yang merasai gegaran diminta berkongsi maklumat melalui soal selidik yang disediakan METMalaysia bagi membantu pihak berkuasa merekodkan kesan gegaran di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Tawau ketika dihubungi RTM mengesahkan tidak menerima sebarang aduan orang awam yang merasakan gegaran tersebut, namun sentiasa bersiap sedia dan menjalankan rondaan di sekitar daerah berkenaan.