
AYER KEROH, 15 Ogos – Penyertaan pengusaha Menu RAHMAH meningkat kepada 3,210 premis makanan dan minuman di seluruh negara setakat Julai lepas berbanding 3,182 pendaftaran pada tahun lalu.
- Pengusaha termasuk restoran, penjaja, trak makanan dan bazar
- Penyertaan tertinggi dicatatkan peniaga gerai makanan atau medan selera dengan 1,016 pendaftaran
- KPDN akan terus menggalakkan lebih ramai pengusaha menyertai inisiatif Menu RAHMAH
- Kerjasama dengan pemain industri dan persatuan peniaga diperkukuh untuk perluaskan lokasi termasuk Hentian Rehat dan Rawat
Peningkatan itu menunjukkan semakin ramai pengusaha bersedia membantu menyediakan pilihan makanan berkualiti pada harga lebih berpatutan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, jumlah itu merangkumi pelbagai premis makanan dan minuman termasuk restoran, penjaja, trak makanan serta bazar.
“Penyertaan tertinggi dicatatkan dalam kalangan peniaga gerai makanan atau medan selera dengan 1,016 pendaftaran.
“KPDN akan terus menggalakkan lebih ramai pengusaha menyertai inisiatif itu, selain memperkukuh promosi menerusi program Jom Cari Menu RAHMAH.
“Kerjasama dengan pemain industri, persatuan peniaga dan pengusaha makanan turut diperkukuh bertujuan memperluas pilihan Menu RAHMAH melibatkan lebih banyak lokasi termasuk kawasan mempunyai permintaan tinggi seperti Hentian Rehat dan Rawat (R&R),”katanya.