
KERTEH, 15 Ogos – Kerajaan negeri Terengganu akan mempercepatkan perancangan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di enam stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) susulan pengoperasian perkhidmatan penumpang projek itu bermula Disember ini.
- Menteri Besar memuji kerjasama CCCC, MRL, Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri yang memudahcara pelaksanaan projek.
- Kerajaan negeri telah sediakan pelan pembangunan; pelaksanaan bergantung kepada persetujuan dan penglibatan pelabur swasta.
- Kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan syarikat berkaitan untuk mengenal pasti potensi pembangunan TOD di stesen.
- Kerajaan negeri tidak berhasrat menanggung semua kos; akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu penting bagi memastikan kemudahan dan pembangunan sekitar stesen ECRL dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan kegiatan ekonomi setempat, selain membuka peluang kepada rakyat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak China Communications Construction Company (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Kerajaan Negeri, yang telah memudah cara pelaksanaan projek ini sehingga dapat dijalankan dengan begitu efisien.
“Saya menyambut baik makluman bahawa ia dapat beroperasi lebih awal pada Disember berbanding Januari,” katanya demikian pada sidang media selepas
Majlis Perasmian Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, disini
Mengulas mengenai kemudahan sekitar stesen ECRL, beliau berkata kerajaan negeri sudah menyediakan pelan pembangunan namun pelaksanaannya bergantung kepada persetujuan serta penglibatan pelabur swasta.
Ujar beliau, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk syarikat berkaitan bagi mengenal pasti potensi pembangunan TOD di enam stesen berkenaan.
Tambah beliau, kerajaan negeri tidak berhasrat menanggung kesemua kos pembangunan tersebut sebaliknya akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas.
Media semalam melaporkan perkhidmatan ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini, mendahului jadual asal
pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran itu bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan yang sedang dilaksanakan, termasuk Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR), tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan.