Pasaran getah dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu hadapan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, menurut Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluaran getah asli tempatan meningkat, dijangka mengehadkan kenaikan harga berikutan kebimbangan terhadap permintaan global.
  • Kemungkinan El Nino lewat tahun ini boleh mengehadkan bekalan dan memberikan sokongan terhad kepada pasaran.
  • Permintaan lebih disokong oleh keperluan menambah stok, pasaran dijangka kekal stabil kecuali jika harga minyak meningkat ketara.

Menurut persatuan itu, pengeluaran getah asli tempatan yang lebih tinggi, ditambah pula dengan kebimbangan mengenai permintaan global, dijangka mengehadkan sebarang kenaikan harga yang ketara.

Bagaimanapun, kemungkinan bekalan yang lebih terhad akibat keadaan El Nino lewat tahun ini boleh memberikan sedikit sokongan kepada pasaran.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan bulanan Jun memaklumkan pengeluaran getah telah meningkat walaupun terdapat kebimbangan bahawa keadaan El Nino boleh mengehadkan bekalan hujung tahun ini.

“Laporan itu juga menunjukkan sarung tangan getah kekal sebagai produk eksport utama dalam kalangan produk berasaskan getah pada Jun, walaupun sentimen pasaran terus terjejas disebabkan kebimbangan terhadap permintaan getah global,” tambah persatuan itu kepada Bernama.

Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pasaran dijangka kekal kukuh dengan sedikit kecenderungan menurun, di mana permintaan berkemungkinan dipacu oleh keperluan menambah stok dan bukannya pembelian spekulatif.

“Pasaran getah mengalami ketidaktentuan yang luar biasa pada minggu lepas di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak, dengan permintaan yang lebih kukuh mendorong harga lebih tinggi walaupun terdapat jangkaan pasaran yang agak stabil.

“Bagi minggu dagangan akan datang, kami percaya kebimbangan sebelum ini sebahagian besarnya telah ditangani pada minggu lepas dan kecuali berlakunya peningkatan ketara pada harga minyak, pasaran getah sepatutnya kekal stabil pada sekitar paras penanda aras minggu lepas,” katanya.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) kekal tidak berubah kepada 909 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut tiga sen kepada 688.50 sen sekilogram. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.