
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Langkah proaktif kerajaan dalam menangani kesan krisis Asia Barat, termasuk menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar, membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah dan merancakkan kegiatan perniagaan.
- Reformasi Ekonomi MADANI dan langkah proaktif kerajaan mengurangkan kesan gangguan bekalan global serta menyokong penggunaan dan pertumbuhan ekonomi.
- Bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan BUDI MADANI terus disalurkan kepada golongan paling terkesan.
- Walaupun pertumbuhan kukuh, ketidaksamaan manfaat, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan harga kekal sebagai risiko kepada kesejahteraan dan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu turut membantu mempertahankan momentum pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2026.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta langkah proaktif kerajaan membantu mengurangkan kesan gangguan bekalan global terhadap rakyat, di samping menyokong penggunaan dan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, meskipun gangguan rantaian bekalan meningkatkan tekanan harga di seluruh dunia, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus pada suku kedua 2026.
“Pada masa yang sama, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah serta subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang paling terkesan kerana kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyedari manfaat daripada pertumbuhan ekonomi masih belum dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah dan perniagaan.
Beliau berkata ketidaktentuan geopolitik berterusan, gangguan rantaian bekalan global, peningkatan harga input dan makanan serta tekanan pekerjaan dalam sektor tertentu terus menjadi risiko kepada kesejahteraan rakyat dan aktiviti perniagaan.
“Malaysia tidak terkecuali daripada kesan pergolakan ekonomi dunia. Walaupun kita menyambut baik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, kita tidak boleh alpa bahawa masih ramai rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup manakala sebahagian pekerja dan perniagaan berdepan keadaan yang sukar,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF)memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya, dipacu permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor luar negeri yang rancak.
Pertumbuhan itu melepasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus, sekali gus menjadikan pertumbuhan separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus.
MOF berkata pencapaian itu meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan kerajaan antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi keseluruhan 2026.