Korban gempa Flores meningkat kepada 47, operasi SAR diteruskan

Foto AFP

MAUMERE, 15 Ogos – Angka korban gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda perairan Pulau Flores, Indonesia meningkat kepada sekurang-kurangnya 47 orang.

RINGKASAN BERITA AI
  • 50 orang turut dilaporkan cedera dalam bencana itu.
  • Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, fokus pada lokasi mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
  • Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah bersedia menyalurkan bantuan kepada kira-kira 2,000 orang di pusat perlindungan sementara.
  • Kerajaan menghantar 50,000 pakej bantuan sejumlah 275 tan; tanah runtuh memutuskan beberapa jalan mengganggu usaha pengesanan.

Badan Pengurusan Bencana Indonesia memaklumkan, 50 orang turut dilaporkan cedera dalam bencana alam tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada beberapa lokasi yang dipercayai terdapat mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sedang membuat persiapan untuk menyalurkan bantuan kepada kira-kira 2,000 orang yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Kerajaan turut menghantar 50,000 pakej bantuan dengan jumlah berat 275 tan ke kawasan terjejas.

Pegawai penyelamat, Fathur Rahman berkata, usaha mengesan mereka yang dipercayai tertimbus menjadi lebih sukar selepas tanah runtuh memutuskan beberapa jalan.

Gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi turut dilaporkan di beberapa kawasan di Flores.

Dalam pada itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menawarkan bantuan menerusi satelit pemerhatian bumi Copernicus bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat.

Pulau Flores pernah dilanda gempa 7.7 magnitud pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 orang.

Indonesia kerap dilanda gempa kerana terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik tinggi. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.