fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong oleh optimisme bahawa indeks petunjuk pasaran tempatan akan terus meningkat menjelang akhir tahun walaupun prestasi Wall Street bercampur-campur, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.09 mata kepada 1,608.84 daripada 1,608.75 pada Jumaat lepas.

Indeks dibuka tinggi 0.13 mata kepada 1,6008.88.

Suasana pasaran positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 162 berbanding 122 manakala 336 kaunter tidak berubah, 1,855 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 142.54 juta unit bernilai RM73.26 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan peniaga kebanyakannya tidak memasuki pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) esok.

Walaupun ramai menjangka Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah, hasil 10 tahun AS kekal tinggi pada 4.395 peratus.

Beliau berkata ini akan meletakkan hutang negara AS yang kini berjumlah US$36.2 trilion dalam kedudukan menarik apabila penggantungan had hutang berakhir pada 1 Jan 2025.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) merosot ke bawah paras 20,000 berikutan rumusan daripada mesyuarat dasar ekonomi China gagal memenuhi jangkaan pelabur.

Sementara menunggu lebih banyak kejelasan, pasaran bon China meningkat dengan hasil 10 tahun mencatatkan paras terendah pada 1.773 peratus.

Dalam negara, FBM KLCI meningkat semula untuk ditutup hampir kepada paras 1,610 berikutan wujud aktiviti belian.

"Kami percaya mudah tunai dalam bursa tempatan masih rendah tetapi berharap indeks akan menguji paras 1,630 sebelum 2024 berakhir.

"Hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,605 -1,615," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Axiata Group naik 4.0 sen kepada RM2.41, Kuala Lumpur Kepong meningkat 18 sen kepada RM21.58, Petronas Chemicals Group menambah 3.0 sen kepada RM5.00, Maxis naik 2.0 sen kepada RM3.56 dan MR DIY menokok 1.0 sen kepada RM1.82.

Daripada saham aktif, Topvision Eye Specialist naik 5.5 sen kepada 38.5 sen, Datasonic tidak berubah pada 43 sen, JCY meningkat 1.5 sen kepada 50 sen, Sentoria Group menambah setengah sen kepada 2.5 sen dan Top Glove naik dua sen kepada RM1.43.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 5.75 mata kepada 12,361.82, Indeks FBMT 100 meningkat 4.85 mata kepada 12,042.14, Indeks FBM 70 menambah 22.75 mata kepada 18,594.96, Indeks FBM Emas Shariah naik 10.44 mata kepada 12,382.64 dan Indeks FBM ACE meningkat 25.35 mata kepada 5,335.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 19.03 mata kepada 19,098.39, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.07 mata kepada 175.70, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 18.47 mata kepada 7,653.52 dan Indeks Tenaga meningkat 3.35 mata kepada 823.35.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE