fb fb fb fb fb

Terbang dron ke Pyongyang, Seoul diancam 'bencana mengerikan'

Kim Yo Jong/Reuters

PYONGYANG, 13 Oktober- Adik perempuan kepada Kim Jong Un (pemimpin Korea Utara), Kim Yo Jong memberi amaran kepada Seoul tentang "bencana mengerikan" jika sebuah lagi dron Korea Selatan dikesan terbang di Pyongyang.

Kenyataan beliau itu disiarkan menerusi siaran televisyen milik negara, KRT, hari ini.

"Sekali lagi sebuah dron dari Korea Selatan dikesan di langit ibu kota kami, ia pasti akan mengakibatkan bencana mengerikan," kata Kim.

Tambah beliau, "Penyebaran risalah atas ibu kota negara lawan akan dianggap sebagai provokasi politik serius dan pelanggaran kedaulatan. Namun, lebih penting penggunaan dron sebagai alat menyebarkan risalah merupakan intipati keseriusan insiden terbaharu ini."

Jumaat lepas, Kementerian Luar Negeri Korea Utara mendakwa Korea Selatan mengirimkan dron ke Pyongyang pada waktu malam minggu ini dan minggu lalu, sekali gus menegaskan "pencerobohan" itu memerlukan tindakan balas.

Sebagai respons, Ketua Staf Gabungan Korea Selatan menyatakan mereka tidak dapat mengesahkan tuduhan Korea Utara tersebut.

Korea Utara telah melepaskan ribuan belon mengandungi sampah ke arah Selatan sejak Mei yang menambah ketegangan antara kedua-dua negara.

Pyongyang menyatakan tindakan itu adalah balasan terhadap beberapa aktivis dan pelarian Korea Utara di Korea Selatan yang menerbangkan belon ke arah Utara dengan membawa bungkusan bantuan dan risalah mengkritik pemimpin Kim Jong Un. -Reuters

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA