fb fb fb fb fb

Kempen 'UAE Bersama Lubnan' sedia 200 tan bantuan

Seorang wanita memegang kanak-kanak ketika warga Turkiye yang dievakuasi dari Lubnan turun daripada kapal perang Turkiye selepas tiba di pelabuhan Mersin, selatan Turkiye pada 10 Oktober lepas. Evakuasi dilakukan berikutan peningkatan serangan Israel terhadap Lubnan menyebabkan lebih sejuta orang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka/AFP

ABU DHABI, 13 Oktober- Kempen kebangsaan "UAE Bersama Lubnan" dilancarkan pada Sabtu, dengan 200 tan bantuan dalam 10,000 pakej bantuan disediakan oleh 4,000 sukarelawan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyokong rakyat Lubnan dan mengurangkan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di negara itu, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Penolong Menteri Luar UAE bagi Urusan Pembangunan dan Organisasi Antarabangsa, Sultan Al Shamsi menekankan komitmen UAE terhadap prinsip kemanusiaan dan solidariti.

"Inisiatif ini mencerminkan nilai-nilai perpaduan dan kerjasama kami, ketika kami menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat konflik," katanya.

Kempen ini didorong oleh arahan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, yang memperuntukkan AS$100 juta dalam bentuk bantuan kepada Lubnan, termasuk AS$30 juta untuk bantuan kepada rakyat Lubnan yang dipindahkan di Syria.

Al Shamsi turut memaklumkan bahawa sejak 4 Oktober, sembilan pesawat dihantar dengan kerjasama rakan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) untuk menghantar 375 tan bekalan penting ke Lubnan.

Lebih banyak penerbangan bantuan kemanusiaan dijadualkan dalam beberapa hari akan datang, katanya.

Kempen ini membawa mesej harapan dan solidariti bersama Lubnan, sekali gus menegaskan komitmen UAE terhadap usaha bantuan sepanjang masa sukar yang dialami Lubnan, kata Al Shamsi. -BERNAMA-WAM

SITI AISHAH MD ISA