fb fb fb fb fb

Belon sampah Korea Utara cetus kebakaran di bumbung bangunan Korea Selatan

Korea Utara menghantar lebih 5,000 belon berisi sampah ke Korea Selatan sejak Mei/ REUTERS

SEOUL, 16 September- Sebuah bangunan komersil empat tingkat terbakar selepas belon sampah dari Korea Utara mendarat di atas bumbung bangunan itu di daerah Barat Seoul, semalam.

Menurut Balai Bomba Gangseo Seoul dalam satu kenyataan, kebakaran berlaku pada sekitar 9.04 malam (waktu tempatan) dan api berjaya dipadamkan dalam masa 18 minit dengan bantuan 15 trak bomba dan 56 anggota yang dikerahkan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak berkuasa tentera serta polis mengumpul sisa belon berkenaan untuk disiasat.

Pyongyang menghantar kira-kira 120 belon berisi sampah ke arah sempadan semalam, dengan 50 lagi belon dihantar pada Sabtu, menurut tentera Korea Selatan.

Ketua Turus Bersama (JCS), berkata kira-kira 40 daripada belon itu sudah mendarat di Korea Selatan, terutama di utara wilayah Gyeonggi dan ibu kota Seoul.

"Belon itu mengandungi sisa kertas dan plastik," katanya sambil menambah bahawa ia tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada orang ramai.

Bagaimanapun jurucakap JCS, Lee Chang-hyun berkata, sesetengah belon sampah Korea Utara mempunyai jangka masa thermal yang berpotensi menyebabkan kebakaran jika ia tidak dipisahkan dengan betul apabila pemanas wayar diaktifkan untuk menanggalkan belon daripada muatannya.

"Menembak jatuh belon di udara meningkatkan risiko serpihan atau bahan berbahaya jatuh. Jadi, buat masa ini, pendekatan paling selamat ialah mengumpulnya secepat mungkin sejurus ia jatuh secara semula jadi," katanya.

Korea Utara menghantar lebih 5,000 belon berisi sampah ke Korea Selatan sejak Mei, dengan mengatakan ia adalah tindak balas terhadap belon propaganda yang dilancarkan oleh aktivis negara itu.

Sebagai tindak balas, Seoul menangguhkan perjanjian ketenteraan bagi mengurangkan ketegangan dengan Pyongyang dan memulakan semula beberapa siaran propaganda menggunakan pembesar suara di sepanjang sempadan.

Sementara itu, penyelidik di Institut Kajian Dasar Asan, Yang Uk, berkata Korea Utara berkemungkinan mempunyai data untuk 'meramalkan di mana belon itu akan mendarat selepas terbang selama beberapa jam dan kemudian meletupkan peranti itu apabila tiba di lokasi mereka berniat untuk menjatuhkannya'.

"Walaupun tiada sesiapa yang cedera dan tiada kerosakan, kebakaran belon boleh menyebabkan kemusnahan lebih teruk apabila musim kering," katanya.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI