fb fb fb fb fb

Rusia umum gencatan senjata, benarkan penduduk bandar Mariupol dan Volnovakha berpindah

MOSCOW, 5 Mac- Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan gencatan senjata pada Sabtu bagi membolehkan penduduk di dua bandar Ukraine yang dikepung tentera Rusia, termasuk bandar pelabuhan strategik Mariupol, berpindah.

"Hari ini, 5 Mac, dari 10 pagi waktu Moscow pihak Rusia mengisytiharkan rejim berdiam diri dan membuka koridor kemanusiaan untuk orang awam keluar dari Mariupol dan Volnovakha," katanya.

Menurut agensi berita Rusia, kementerian menjelaskan, lokasi koridor kemanusiaan dan pintu keluar telah ditentukan dalam persetujuan dengan pihak berkuasa Ukraine.

Pengumuman itu dibuat selepas Datuk Bandar Mariupol, Vadim Boychenko memaklumkan bandar tersebut berada di bawah sekatan dan meminta koridor kemanusiaan diwujudkan.

Ia sejurus selepas pasukan pemisah pro-Rusia dan tentera Rusia memaklumkan bandar itu telah dikepung.

(Pantai laut Azov di bandar pelabuhan perindustiran Mariupol / foto AFP)

Mariupol, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 450,000 penduduk di Laut Azov merupakan bandar pelabuhan strategik yang membenarkan akses maritim yang penting.

Setelah bandar itu ditawan Rusia, tentera Moscow datang dari semenanjung Crimea bersama tentera Donbas yang dikawal oleh pemisah.

Volnovakha pula ialah sebuah bandar dengan kira-kira 20,000 orang yang terletak berhampiran bekas barisan hadapan Ukraine dengan pemisah yang disokong Rusia dan sekitar 60 kilometer dari Donetsk. -AFP

Media Baharu