Bermain tanpa tekanan kunci kejayaan Zi Yu-Noraqilah tumbangkan gergasi Jepun

Beregu wanita Malaysia, Low Zi Yu – Noraqilah Maisarah Ramdan, meraikan kemenangan selepas menewaskan Rin Iwanaga dan Kim Nakanishi dalam perlawanan Kumpulan B saingan Piala Thomas dan Uber di Forum Horsens / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 April – Pendekatan ‘bermain tanpa tekanan’ jadi kunci kejayaan gandingan muda negara, Low Zi Yu – Noraqilah Maisarah Ramdan apabila mencipta kejutan menewaskan pasangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Uber di Horsens, Denmark.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zi Yu dan Noraqilah menewaskan Rin Iwanaga/Kie Nakanishi 17-21, 21-12, 21-19, memberi satu mata tunggal Malaysia dalam kekalahan 1-4.
  • Noraqilah berkata sokongan jurulatih dan rakan sepasukan memberi semangat, bangkitkan motivasi mereka untuk sentiasa berikan yang terbaik.
  • Malaysia tamatkan peringkat kumpulan sebagai naib juara dan akan meneruskan cabaran ke pusingan suku akhir.

Mereka mengejutkan beregu ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga – Kie Nakanishi menerusi kemenangan 17-21, 21-12, 21-19, sekali gus menyumbang satu-satunya mata buat Malaysia dalam kekalahan 1-4 kepada Jepun.

Menurut Noraqilah, pendekatan bermain tanpa beban membantu mereka menampilkan aksi lebih berani dan tenang ketika berdepan lawan berstatus tinggi.

“Kami anggap ini pengalaman berharga menentang pemain kelompok 10 terbaik dunia. Sebelum masuk gelanggang, kami tidak fikir terlalu banyak, cuma fokus bermain tanpa tekanan dan beri yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Zi Yu menzahirkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang kempen di Denmark.

“Terima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat, terutama ketika berdepan Jepun. Sokongan itu membangkitkan motivasi kami untuk bangkit dalam set kedua dan ketiga,” jelasnya.

Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara dan akan meneruskan cabaran ke pusingan suku akhir, manakala Jepun mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan.

Saingan Piala Uber 2026 yang berlangsung di Denmark dijadual tamat pada 3 Mei depan, dengan tumpuan kepada undian pusingan kalah mati.