Venue acara pembukaan Sukan SEA 2027 dijangka siap Januari 2027

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari ketika melihat projek naik taraf Stadium Sarawak/ Foto RTM Sarawak

KUCHING, 28 April – Venue bagi upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2027 di Stadium Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan, sekali gus mendahului jadual persediaan utama temasya tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek berjalan mengikut jadual; sebahagian dijangka siap seawal Januari 2027 dan selebihnya selewat-lewatnya Jun 2027.
  • Kerajaan negeri memperuntuk sekitar RM630 juta; RM350 juta kos penganjuran dan RM280 juta untuk naik taraf kemudahan sukan.
  • Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi 17 daripada 38 sukan, manakala Kementerian memantau rapat bagi mengelakkan kelewatan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, bagi kerja-kerja tambah baik dan naik taraf keseluruhan fasiliti sukan yang lain di Sarawak pula, ia dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2027.

“Upacara pembukaan itu sendiri akan berlangsung di Sarawak dan melibatkan 17 daripada keseluruhan 38 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Saya telah berbincang dengan pihak berkaitan di Sarawak dan persiapan dilihat sangat rapi serta menepati garis masa yang telah kita tetapkan,” katanya selepas meninjau kemajuan fasiliti sukan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan Sarawak turut membina sebuah bangunan pusat media khas untuk temasya sukan itu.

Kemudahan tersebut bertujuan memastikan kelancaran liputan serta menyediakan fasiliti terbaik kepada pengamal media tempatan dan antarabangsa yang bakal berkumpul di negeri itu.

Persiapan rapi ini mencerminkan komitmen Sarawak sebagai tuan rumah utama bagi edisi ke-34 yang dijadualkan berlangsung pada September 2027.

Langkah menyiapkan venue pembukaan lebih awal juga memberi ruang kepada penganjur untuk melakukan sesi latihan dan ujian teknikal bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap tertinggi.

Sukan SEA 2027 bakal menyaksikan penglibatan 11 negara Asia Tenggara dengan Sarawak mengendalikan hampir separuh daripada keseluruhan acara sukan yang dipertandingkan.