
KUCHING, 28 April – Sukan SEA 2027 di Sarawak bakal berwajah baharu apabila ia dirancang untuk berlangsung sebagai sebuah festival rakyat yang menyeluruh, selain daripada sekadar temasya sukan kompetitif.
- Tema festival rakyat menjadikan Sukan SEA 2027 lebih menarik dengan penglibatan aktif orang ramai melalui pelbagai aktiviti sampingan.
- Kawasan Stadium Sarawak disiapkan dengan festival jualan, gerai pameran dan aktiviti keluarga untuk pengunjung bersantai.
- Perancangan rapi serta kerjasama negeri dan Persekutuan diharapkan menjayakan temasya, merancakkan ekonomi dan mempromosi pelancongan sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata pendekatan tersebut bertujuan menjadikan temasya dwi-tahunan itu lebih menarik dengan penglibatan aktif orang ramai melalui pelbagai aktiviti sampingan.
“Kita mahu fokuskan ia menjadi satu festival rakyat. Melalui perbincangan awal, di kawasan Stadium Sarawak itu sendiri akan disediakan festival jualan, gerai pameran dan pelbagai aktiviti lain.
“Tujuannya supaya orang yang datang bukan hanya menonton acara sukan semata-mata, malah boleh membawa keluarga untuk bersantai. Ini adalah satu platform untuk festival rakyat itu sendiri,” katanya.
Beliau optimis bahawa dengan perancangan rapi serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, temasya bertaraf antarabangsa itu akan dilangsungkan dengan jayanya.
Untuk rekod, Sarawak telah dipilih sebagai lokasi utama dengan penganjuran sebanyak 17 daripada keseluruhan acara sukan yang bakal dipertandingkan.
Langkah ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan ekonomi setempat serta mempromosikan sektor pelancongan sukan di Bumi Kenyalang.