WUZHOU, 26 Mac - Operasi mencari dan menyelamat 132 penumpang pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di kawasan pergunungan di wilayah Guangxi memasuki hari keempat hingga semalam.
Selain itu, petugas operasi turut memberi tumpuan kepada usaha mencari kotak hitam kedua ketika peranti pertama yang ditemui Rabu lalu sedang dinyahkod serta dianalisis di Beijing.
Bagaimanapun, tiada mangsa terselamat ditemui setakat ini dalam nahas yang berlaku ketika pesawat berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou.
Menurut media China, proses nyahkod itu boleh memakan masa antara 10 hingga 15 hari untuk analisis awal dan mungkin lebih lama lagi sebelum rumusan akhir dapat dikemukakan dalam laporan.
(Serpihan pesawat dan beberapa cebisan mayat manusia ditemukan/FOTO FAIL)
Ketua keselamatan penerbangan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) Zhu Tao berkata, keutamaan tugas mereka masih pada usaha mencari dan menyelamat.
Setakat ini, pasukan penyelamat menemukan serpihan pesawat penumpang itu termasuk enjin, penstabil ekor pesawat dan serpihan sayap serta beberapa cebisan mayat manusia dan barangan peribadi penumpang.
Siasatan terbabit diketuai oleh China, namun Amerika Syarikat dijemput untuk turut mengambil bahagian berikutan pesawat Boeing 737-800 itu direka bentuk dan dikilangkan di negara berkenaan.
Terdahulu media tempatan China menarik balik laporan yang mengatakan kotak hitam kedua pesawat China Eastern Airlines MU5735 telah ditemukan.
Mereka kemudiannya menjelaskan laporan itu tidak benar kerana kotak perakam itu belum dijumpai.
Berita penemuan kotak hitam kedua pesawat malang berkenaan pertama kali dilaporkan oleh CAAC News, akhbar dikendalikan oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China.
Kotak hitam berkenaan boleh memberikan petunjuk penting mengenai nahas yang menyebabkan pesawat membawa 132 penumpang dan anak kapal itu terhempas.
Pasukan pencari menggunakan pengesan logam dalam usaha mencari peranti tersebut di luar bandar Wuzhou, wilayah selatan Guangxi.