fb fb fb fb fb

Gaji minimum $500 di Brunei bagi semua indsutri sektor swasta

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai - Brunei akan memperkenalkan dasar gaji minimum bagi semua industri dalam sektor swasta, titah Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu lalu.

Memetik laporan The Scoop, baginda bertitah usaha itu adalah "satu langkah ke arah memperkukuhkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat" dan menggesa sektor perniagaan untuk menyokong dasar berkenaan.

Jabatan Buruh melalui kenyataan berkata, dasar gaji minimum akan dilaksanakan melalui dua fasa bagi kedua-dua pekerja tempatan dan pekerja dari luar negara.

Sama ada mereka bekerja sepenuh masa atau secara sambilan.

Fasa pertama meliputi sektor perbankan dan kewangan serta sektor infokom (ICT), manakala gaji minimum bagi sektor lain akan diumumkan pada tarikh lain.

Pekerja sepenuh masa dalam bidang perbankan, kewangan dan ICT layak menerima pendapatan minimum $500 (RM1700) sebulan, manakala pekerja sambilan layak menerima sekurang-kurangnya $2.62 (RM9.00) sejam.

Menurut laporan The Scoop, gaji minimum akan diberikan sebelum sumbangan ke akaun-akaun persaraan.


Jabatan Buruh menyatakan majikan akan diberikan tempoh peralihan selama enam bulan bagi mengemas kini kontrak pekerja jika perlu.

Sementara itu, pekerja yang berpendapatan di bawah nilai gaji minimum, majikan mesti mengemas kini kontrak mereka bagi menyelaraskan kadar gaji minimum dan mendapatkan tandatangan pekerja bagi syarat baharu itu.

Undang-undang baharu bagi gaji minimum tersebut berkuat kuasa mulai 12 Julai lalu.

"(Undang-undang baru itu) bertujuan menetapkan pendapatan asas yang munasabah bagi memenuhi keperluan penting kakitangan, melindungi pekerja dari gaji terlalu rendah, mendorong pekerja tempatan dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi," menurut jabatan itu, seperti dipetik laporan The Scoop.

Majikan yang tidak mematuhi arahan baru itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun dan didenda sehingga $3,000 (RM10,000). - AGENSI

Media Baharu