
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Yasmeen Muhammad Shariff atas kejayaan membanggakan apabila dipilih mewakili Malaysia sebagai Ahli Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2027 hingga 2031.
- Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KPWKM atas pencapaian yang membanggakan.
- Pemilihan itu mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan dan komitmen Malaysia.
- Yasmeen memperoleh undian tertinggi, mengukuhkan kedudukan negara dan menjadi pemangkin bagi usaha antarabangsa masa depan.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas pencapaian tersebut.
Menurut beliau, pemilihan berkenaan mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan serta komitmen Malaysia di pentas global.
“Alhamdulillah. Tahniah kepada Datuk Yasmeen Muhammad Shariff dan seluruh warga KPWKM atas kejayaan yang sangat membanggakan ini.
“Pemilihan ini mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan serta komitmen Malaysia di peringkat global,” katanya.
Dalam masa sama, berdasarkan paparan pada poster ucapan tahniah yang dikongsikan, Yasmeen memperoleh undian tertinggi dalam pemilihan tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa dalam memperjuangkan hak kanak-kanak.
Perdana Menteri turut mendoakan agar pencapaian itu menjadi pemangkin untuk negara terus memperkukuh usaha, sekali gus mengangkat martabat Malaysia serta melakar lebih banyak kejayaan di persada antarabangsa.